PUTRAJAYA – Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyambut baik langkah kerajaan bagi memperbesarkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk membantu dalam perniagaan wanita.
Ketuanya, Datuk Seri Rina Harun berkata, ia merupakan berita gembira buat wanita kerana perkara itu sememangnya menjadi topik utama sepanjang perbahasan Srikandi yang berlangsung pagi tadi.
Katanya, Srikandi amat bersyukur kerana akhirnya perkara tersebut mendapat perhatian oleh Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri.
“Insyaallah ini akan direalisadikan dengan kerjasama daripada semua pihak.
“Kami merasa amat gembira dengan apa yang diperkatakan oleh Tun kerana memang itu yang dibahaskan oleh Sriknadi pagi tadi,” katanya sebagai memberikan reaksi terhadap Ucapan Dasar Pengerusi Bersatu yang disampaikan oleh Dr Mahathir malam ini .
Dalam ucapannya Dr Mahathir berkata, AIM akan diperbesarkan dan contoh-contoh yang baik dalam perniagaan wanita akan akan dibantu.
Katanya, pertandingan antara mereka akan diadakan dan hadiah turut diberi kepada yang berjaya besar.
Jelasnya, langkah tersebut diambil selepas melihat percubaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) apabila mendapati kaum wanita lebih serius dan berjaya dari kaum lelaki.
Sementara itu, Rina berkata, sebanyak 340,000 usahawan yang dibantu oleh AIM sebahagian besarnya adalah golongan wanita.
Ujarnya, sekiranya langkah memperluaskan AIM itu terlaksana lebih ramai lagi wanita akan mendapat manfaat sekaligus dapat meneruskan kelangsungan perniagaan mereka. – MalaysiaGazette