Home Utama Tragedi M.V Pulau Kidjang dan 47 nyawa yang ‘bersemadi’ di muara Tanjung...

Tragedi M.V Pulau Kidjang dan 47 nyawa yang ‘bersemadi’ di muara Tanjung Jerijeh

TAK ramai yang tahu kisah tragedi yang mencatatkan sejarah hitam dalam kalendar negara pada awal pagi kira-kira 45 tahun yang lalu di muara Tanjung Jerijeh, Sarikei, Sarawak.

Tak siapa pernah menduga pelayaran kapal kargo dan penumpang, M.V.Pulau Kidjang, pada petang 26 Disember 1973 berakhir dengan tragedi menyayat hati kira-kira jam 4.00 pagi keesokan harinya.

Dibina pada tahun 1936 di Hong Kong, kapal tersebut asalnya dimiliki Syarikat Perkapalan Kidjang, Tanjung Pinang, Indonesia sebelum dibeli oleh Syarikat Perkapalan Messrs Central Shipping beralamat di Main Bazaar, Kuching dari sebuah syarikat perkapalan di Singapura.

MGF29122018_ PulauKidjang_03

Dalam tragedi tersebut, seramai 140 orang iaitu 110 penumpang dan bakinya 30 orang krew kapal terbabit dalam nahas maritim terburuk ini. Hanya 40 orang terselamat dan 53 mayat mangsa termasuk lima mayat anak kapal berjaya ditemui.

Manakala 47 mayat penumpang dan anak kapal gagal ditemui sehingga ke hari ini. Mereka termasuk enam sekeluarga yang berasal dari Sibu, Sarawak dipercayai terperangkap di dalam badan kapal malang tersebut.

Fenomena alam semulajadi, cuaca buruk ketika musim tengkujuh dan musim angin monsun timur laut dikaitkan sebagai punca utama tenggelamnya M.V.Pulau Kidjang.

RAHSIA 42 TAHUN PIX 3

Bagaimanapun tiada laporan dikeluarkan mengenai kemungkinan cuaca buruk bagi tempoh 24 jam ketika M.V.Pulau Kidjang meninggalkan jeti K.T.S. Kuching pada 26 Disember 1973.

Kebanyakan mangsa yang terselamat terutamanya anak-anak kapal memberitahu sebelum kejadian berlaku, hujan turun dengan lebat.

Angin bertiup kencang diiringi ribut kuat dan keadaan ombak besar mengakibatkan laut bergelora. Tanda awal keadaan cuaca buruk dirasai sebaik sahaja M.V.Pulau Kidjang keluar dari Muara Tebas seterusnya belayar ke Tanjung Po menuju Kuala Rajang.

M.V.Pulau Kidjang dikenali sebagai kapal jenis “tender” dan “Elliptical Stern” kerana rekabentuk bahagian buritannya yang rungkup dan terjuntai.

Spekfikasi buritannya membolehkan air laut melimpah masuk ke dalam dek belakang tetapi air yang melimpah ini tidak dapat mengalir terus keluar. Alat kemudi dan kipasnya tenggelam serentak ke dalam air membolehkan kapal jenis ini dikemudi dengan lebih efektif.

Bagaimanapun, ketika belayar mengikut arah arus air dan ombak di laut, pergerakan kapal akan perlahan.

Semasa pelayaran terakhirnya, ukuran keapungan bahagian hadapan M.V.Pulau Kidjang ialah 2.13 meter dan bahagian belakang ialah 3.04 meter. Trim bahagian butirannya adalah satu meter.

Menurut saksi, air pasang yang berlaku mengakibatkan aliran arus air laut dan sungai menghulu di kawasan muara bertambah deras.

Kapal terumbang ambing ke kiri dan kanan akibat pukulan gelombang besar dan alunan ombak yang kuat di bahagian beting.

Dalam keadaan kapal terumbang-ambing, air laut semakin banyak melimpah masuk ke dalam kapal.

Dalam keadaan kelam kabut itu, usaha untuk mengemudi M.V.Pulau Kidjang tidak berjaya sebaliknya kedudukan badan kapal semakin condong ke kanan dan perlahan~lahan tenggelam di dasar muara Kuala Rajang.

Takala itu juga, tangisan terus memecah kesepian dinihari.

Laungan meminta tolong masih lagi kedengaran.

Air mata bersatu dalam alunan ombak ganas. Rasa kasihan hilang di laut. Tetapi tiada siapa peduli. Langit muara Kuala Rajang gelap. Sekali lagi sarat awan menurunkan hujan. Badai angin dan ribut terus mengganas.

Laut masih bergelora saat tenggelamnya M.V.Pulau Kidjang.

48952660_10156888375523050_7358403791328116736_n

Untuk rekod, jumlah kargo yang dibawa M.V Pulau Kidjang ini melebihi 80 tan termasuk dua buah kereta yang diletakkan di ruang kosong di atas dek. Bagaimanapun, tidak diketahui di mana baki kargo yang lain disimpan.

Antara jenis kargo yang dibawa oleh M.V.Pulau Kidjang ketika itu, 33,600 botol minuman ringan, 9,400 kilogram makanan ternakan, 2,150 tin pelbagai jenis biskut dan 380 tin minyak masak. Semua kargo termasuk dua buah kenderaan tidak diketahui berapa nilai keseluruhannya.

Menurut bekas wartawan yang juga penulis buku Tenggelamnya Pulau Kidjang, Zaliha Hassan, selama dua minggu operasi mencari dan menyelamat dilancarkan walaupun ketika itu keadaan cuaca tidak menentu, laut bergelora dan arus deras di muara sungai.

” Sebanyak 12 lagi mayat mangsa yang tidak dikenalpasti identiti mereka telah disemadikan di tanah perkuburan khas yang kedudukannya beberapa kilometer dari bandar Sarikei. Bangkai kapal berkenaan masih berada di dasar muara Kuala Rajang sehingga ke hari ini. Antara yang terselamat seorang kanak-kanak lelaki yang sempat berpaut pada tin biskut!,” katanya kepada Malaysia Gazette baru-baru ini

MGF29122018_ PulauKidjang_02

Menurut Zaliha, tidak ada ada seorang pun penumpang dan anak kapal M.V Kidjang mengenakan jaket keselamatan ketika itu.

Katanya, kapal tersebut ketika itu dilengkapi dengan 204 jaket keselamatan individu, tujuh rakit keselamatan daya kembung yang boleh menampung sehingga 175 penumpang, lapan biji pelampung keselamatan serta dua bot keselamatan yang boleh memuatkan 32 penumpang dalam satu-satu masa.

Ujarnya, kapal malang yang cukup sinomin sebagai pengangkutan air utama berulang-alik dari Kuching-Sarikei-Sibu itu karam pada kedudukan kira-kira 2.8 batu nautika dari rumah api Tanjung Jerijeh dan kira-kira tiga batu nautika ke arah rumah api Tanjung Selalang, Sarikei.

49319453_10156888326723050_430736295816331264_n

Ketika ditanya mengapa beliau mengambil keputusan untuk menghasilkan buku mengenai tragedi ini, Zaliha berkata, ini kerana beliau mahu menjadikannya sumber rujukan masyarakat mengenai sistem pengangkutan air yang merupakan sistem pengangkutan tertua di Sarawak dan masih relevan digunapakai sehingga ke hari ini.

” Saya menulis berdasarkan fakta, dokumentasi dan laporan mahkamah mengenai kes ini. Saya juga ada buat kajian, berjumpa dengan isteri dan anak para mangsa termasuk ke kubur mereka yang terlibat.

” Memang sedih bila mengenangkan tragedi ini apatah lagi ramai mangsa tidak dapat ditemui hingga ke hari ini. Sayang sekali buku setebal 135 muka surat yang diterbitkan pada tahun 2004 itu sudah tidak ada di pasaran,” kata beliau.

Hari ini, setelah berpuluh tahun tenggelamnya M.V.Pulau Kidjang, mangsa yang terselamat dan waris~waris mangsa masih sukar melupakan peristiwa memilukan ini.

Bagi waris~waris mangsa yang kehilangan orang tersayang dan mayat mereka berkubur di dasar muara bersama kapal malang ini, kesedihan yang mereka tanggung sukar diungkap dengan kata~kata.

Setiap kali kenangan menggamit ingatan hanya air mata dan doa yang mampu dihadiahkan.

49124900_10156888326553050_3751966099869007872_n

Mereka yang mahukan maklumat lanjut mengenai tragedi ini boleh menghubungi beliau dengan melayari Facebooknya di https://www.facebook.com/zaliha.hassan.39 – Malaysia Gazette.