KUALA LUMPUR – Khabar angin dalam kalangan ahli MIC malah komponen Barisan Nasional (BN), antara calon bagi merebut kerusi P078 Cameron Highlands adalah Naib Presiden MIC sendiri, Datuk T. Murugiah.
Sebelum ini, MIC tampak lebih yakin dengan meletakkan Datuk C. Sivarrajh kembali bagi kerusi tersebut selepas pembatalan kemenangan November lepas apatah lagi pemimpin itu dikatakan bukan sahaja aktif di Cameron Highlands malah amat disenangi kerana kelantangan beliau.
Malaysia Gazette yang menghubungi sumber mendapati, ketika ini walaupun ada beberapa nama seperti Ahli Jawatankuasa Pusat MIC yang lantang seperti P. Punithan dan bekas calon Naib Presiden MIC, R. Ramalinggam juga menjadi sebutan.
Namun hampir pasti Murugiah yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika masih bersama MyPPP adalah calon ‘boleh menang’ bagi memenangi kerusi tradisi parti itu.
Murugiah bagaimanapun ketika dihubungi ‘mengunci mulut’ dan enggan mengulas mengenainya.
Beliau memaklumkan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran akan membuat keputusan dalam masa terdekat berkemungkinan esok.
“Biar presiden yang membuat keputusan, ketika ini kemenangan adalah menjadi fokus kita. Saya tidak dapat berikan apa-apa komen ketika ini kerana tidak pasti tentang apa-apa berhubung keputusan beliau lagi. Kita jangan main agak-agak tapi tunggu keputusan rasmi sahaja,” katanya.
Mengikut hieraki dan logik ketika ini, antara yang layak untuk bertanding sebenarnya adalah Murugiah kerana kepimpinan tertinggi lain sudah ada memegang jawatan masing-masing.
Antaranya, presiden merupakan Yang Dipertua Dewan Negara, Timbalan Presiden, Datuk M. Saravanan adalah Ahli Parlimen Tapah ketika ini, Naib Presiden pertama, Datuk T. Mohan kini adalah Ahli Dewan Negara, Sivarrajh pula hilang kelayakan untuk bertanding pilihan raya untuk tempoh lima tahun akan datang.
Naib Presiden ketiga yang juga mendapat undian sebanyak 5,984 menewaskan tujuh pencabar lain adalah Murugiah.
Secara logiknya, beliau berkemungkinan akan mendapat peluang untuk bertanding di PRK Cameron Highlands tetapi pada masa yang sama, Murugiah juga merupakan antara yang popular ketika menerajui Biro Aduan di Jabatan Perdana Menteri satu ketika dulu.
Malah, persaingan akan menjadi lebih menarik seandainya ‘bos lama’, Presiden MyPPP, Tan Sri M Kavyeas juga bertanding untuk kerusi yang sama kerana umum mengetahui bagaimana kedua-dua pemimpin ‘bercakaran’ ketika dalam parti itu dulu sebelum Murugiah di pecat pada 2009.
Sejak PRU-14, krisis perebutan kerusi Cameron Highlands sudah wujud antara MIC dan MyPPP, susulan Kayveas berpendirian parti itu patut diberikan mandat bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands.
BN kemudian bertindak meletakan Sivarraajh selepas beberapa siri perbalahan sehingga menyebabkan MyPPP berpisah kepada dua kumpulan.
Sivarraajh menewaskan empat calon lain iaitu calon DAP, M Manogran, yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS – 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa – 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM – 680 undi) dengan undian sebanyak 10,307.
Bagaimanapun, PRK Cameron Highlands terpaksa diadakan semula, susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Sivarraajh selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.
Malah Suruhanjaya Pilihan Raya juga telah memutuskan untuk tidak membenarkan Sivarrajh bertanding untuk tempoh lima tahun akan datang selain daripada hilang kelayakan untuk mengundi bagi tempoh sama. –MalaysiaGazette