KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengambil tindakan yang tegas dan segera untuk menyiasat dakwaan berlaku penyelewengan dalam agensi yang mengawal selia aktiviti kilang logi Lynas.
Dakwaan Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), sebuah kumpulan anti-Lynas itu juga perlu disiasat secara adil dan telus demi keselamatan awam serta alam sekitar.
Menurut Ahli Parlimen Kemaman, Tuan Che Alias Hamid, sebelum ini SMSL telah mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan sisa nadir bumi Lynas sehingga membolehkan kilang tersebut menyimpan sisa terjadual selama enam tahun.
Katanya, SMSL juga telah mengumpul sebanyak 117 muka surat bukti penyelewengan.
“Bukti tersebut akan dibawa oleh SMSL ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar siasatan lanjut dilaksanakan.
“Saya minta syarikat Lynas menunjukkan bukti yang sahih sekiranya dakwaan SMSL itu tidak benar.
“Saya tidak mahu dalam isu penyelewengan ini, ada mana-mana pihak cuba untuk mendapatkan kepentingan masing-masing,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Menurut Tuan Che Alias, kebajikan dan keselamatan pekerja Lynas serta penduduk tempatan perlu diberi keutamaan dengan mengetepikan agenda politik.
“Ketepikan agenda politik bagi membolehkan siasatan yang adil dapat dilakukan kepada pihak yang terlibat,” katanya.
Baru-baru ini, kumpulan anti kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP), SMSL mendakwa mempunyai bukti wujud penyelewengan berhubung kilang itu.
Dakwa Pengerusinya, Tan Bun Teet, maklumat yang turut melibatkan jabatan kerajaan itu telah dikumpukan sejak Lynas memulakan operasinya di Gebeng, Kuantan kira-kira enam tahun lalu. – MalaysiaGazette