PUTRAJAYA – Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim berkata, usul untuk memanjangkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tempoh lima tahun adalah munasabah.
Namun katanya, usul itu perlu mengambil kira perasaan komponen parti kerana melihatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pada saat ini penerimaan terhadap Tun Dr Mahathir adalah sangat munasabah dan personaliti beliau dapat menaungi banyak hal dan memperbaiki prestasi negara.
“Namun apa yang disuarakan dalam parti mungkin tidak akan diterima parti komponen PH.
“Bagaimanapun belum ada suara yang bercanggah lagi dan saya kira pandangan ini adalah baik namun perasaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri perlu ditinjau dari sudut yang lebih munasabah dan praktikal,” katanya selepas menghadiri sesi perbahasan Dasar Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali kedua hari ini di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Hari ini terdapat usul daripada perwakilan Bersatu Kelantan bagi membenarkan Dr Mahathir memegang jawatan itu sehingga Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).
Ia dipercayai menarik minat semua perwakilan dan diterima sepenuhnya oleh mereka. -MalaysiaGazette