PUTRAJAYA – Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digemparkan dengan berita kemalangan empat ahli parti itu yang terlibat dalam kemalangan hari ini.
Pengerusi Tetap, Datuk Seri Mohd Shariff Omar yang membuat pengumuman itu ketika sesi penggulungan petang ini berkata, dua daripada mangsa terbabit yang berasal dari Maran, Terengganu telah dihantar pulang manakala dua lagi kini sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana kritikal.
Tidak dinyatakan lokasi kejadian namun dipercayai insiden berlaku di Lembah Klang.
Mohd Sariff kemudiannya mengumumkan kutipan derma untuk disalurkan kepada mangsa sebagai tanda prihatin terhadap kejadian yang menimpa mereka.
Kutipan itu dibuat melalui wakil yang menggunakan songkok.
Tugas mengutip derma itu kemudiannya diserahkan kepada ketua-ketua Bahagian yang berada di dalam Dewan Plenary PICC tempat berlangsungnya perhimpunan.
Sehingga berita ini ditulis tidak diketahui jumlah kutipan yang dibuat ekoran tidak ada pemberitahuan mengenainya. – MalaysiaGazette