PUTRAJAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berada dalam keadaan stabil selepas lebih enam bulan mentadbir negara ini.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ia dapat dibuktikan apabila pelabur melahirkan puas hati dengan suasana ekonomi sepanjang tempoh itu.
“Setakat ini apa yang dapat dilihat, kami kini stabil dan pelabur berpuas hati serta jaminan dalam sektor domestik dan luar negara.
“Sudah tentu kami nampak tidak stabil di mata wartawan. Kalau stabil tidak ada bahan untuk ditulis untuk menjual suratkhabar atau majalah,” katanya berseloroh.
Beliau berkata demikian pada sidang selepas berakhir Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini petang tadi.
Beliau diminta membuat penilaian ke atas kerajaan PH pimpinannya selepas mentadbir negara ini sejak Mei lalu. – MalaysiaGazette