Home Nasional Dua daripada tiga beradik ditemui lemas – Bomba

Dua daripada tiga beradik ditemui lemas – Bomba

Mangsa, Nurain Sufia Zawawi, 8, ditemui terapung pada pukul 7.38 pagi tadi dalam lingkungan 5km dari lokasi kejadian manakala adiknya Nurain Sasabila, 6, dijumpai pada kira-kira pukul 9.40 pagi tadi, iaitu kira-kira 1km dari tempat kejadian.

DUNGUN – Mayat dua daripada tiga beradik perempuan yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan ombak besar di Pantai Sura Tengah, di sini, semalam ditemui pagi ini.

Mangsa, Nurain Sufia Zawawi, 8, ditemui terapung pada pukul 7.38 pagi tadi dalam lingkungan 5km dari lokasi kejadian manakala adiknya Nurain Sasabila, 6, dijumpai pada kira-kira pukul 9.40 pagi tadi, iaitu kira-kira 1km dari tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Saifuddin Muhammad berkata gerakan mencari dan menyelamat (SAR) kakak mereka Nurain Fatma, 10, sedang giat dijalankan di kawasan lingkungan 10km dari lokasi kejadian.

“Operasi SAR di air pagi ini bermula pada kira-kira pukul 7 pagi dan diperluaskan ke kawasan 10km melibatkan 12 anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 6.40 petang semalam, tiga beradik yang berasal dari Kelantan itu datang bercuti bersama ibu saudara mereka ke Dungun manakala ibu bapa mereka berada di kampung (Kelantan).

Ketiga-tiga mereka ditarik oleh ombak besar ketika bermain di tepi pantai.

— BERNAMA