KUALA LUMPUR – UMNO berterima kasih kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana sedang membersihkan daki yang mengotori parti itu selama ini.
Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) PPBM yang berakhir di Putrajaya semalam, menampakkan lagi parti itu sebenarnya mewarisi segala sifat buruk segelintir pemimpin UMNO.
“Nampaknya PPBM telah mewarisi segala sifat buruk segelintir pemimpin UMNO sehingga UMNO dihukum pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu,” katanya menerusi ciapan di Twitter beliau hari ini.
Dalam PAT itu, terdapat gesaan daripada perwakilan sayap PPBM supaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dimenanginya pada 9 Mei lalu dapat memberikan jawatan, kontrak dan projek kepada pemimpin negeri dan bahagian untuk mengekalkan kuasa pada PRU akan datang.
Perbahasan usul itu disokong Naib Presidennya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mengatakan PPBM kena memastikan PH kekal kuasa by hook or by crook.
Bukan setakat itu, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu turut menyifatkan mereka yang menolak projek dan kontrak sebagai bodoh. – MalaysiaGazette