Home Politik Wujudkan big data usahawan Melayu

Wujudkan big data usahawan Melayu

Tan Sri Abdul Aziz Yassin.

KUALA LUMPUR – Biro Ekonomi Bersatu akur platform memperkukuh kedudukan ekonomi orang Melayu dan bumiputera perlu diambil perhatian serius.

Ia supaya golongan itu tidak ketinggalan, terpinggir atau tenggelam dalam menghadapi persaingan.

Persaingan itu termasuklah dunia perniagaan dan keusahawanan terutama dalam era teknologi digital dan bahang revolusi perindustrian 4.0, kata Pengerusi Biro Ekonomi Bersatu, Tan Sri Abdul Aziz Yassin.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia melihat Pelan Kemakmuran Bersama dilihat sebagai suatu pemangkin yang merencana kaedah bagi memastikan berlaku keseimbangan dalam mengecapi agihan kek ekonomi dalam kalangan setiap warga usahawan pelbagai kaum – bukan dimonopoli oleh kaum tertentu semata-mata.

“Mekanisme pengisian Agenda Bumiputera ini perlu direstui, disokong dan dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan yang mahu menjuarai semangat Malaysia Baru, selepas menang besar dan memegang tampuk pemerintahan dalam PRU-14 sehingga menyebabkan parti komponen pemerintah Barisan Nasional (BN)
tersungkur.

“Kemenangan Pakatan Harapan (PH) memang suatu yang tidak diduga namun tidak semestinya kita yang menduduki kerusi pencadang kali ini terus alpa dalam keseronokan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Bersatu selesai mengadakan perhimpunan agung tahunannya di Putrajaya semalam.

Menurut Abdul Aziz, rakyat telah membuat pilihan dan rakyat juga yang akan menentukan nilai prestasi atau KPI Kerajaan Malaysia Baru.

“BN tewas, sudah menjadi sejarah. Kita mahu PH melakar sejarah baru untuk kesejahteraan rakyat Malaysia. Banyak ketirisan dan kemusnahan silam telah dikenalpasti dalam era pemerintahan BN. Biarkan mahkamah keadilan dan kesaksamaan menentukan nasib mereka yang dituduh melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau juga mahu agenda bumiputera dalam era Malaysia Baru harus dilihat dalam konteks keseimbangan dan dinamika generasi hari ini.

“Era teknologi digital telah menjadi pemisah di antara generasi, atau lebih tepat generasi celik IT dengan generasi yang buta IT. Jika tidak ditangani dengan bijak, jurangnya akan menjadi lebih besar dan menyebabkan ada pihak yang tertinggal dan tidak termaklum akan perkembangan terkini,” ujarnya lagi.

Pihaknya juga mahu pengurusan terhadap pengumpulan dan pemilikan data raya (big data) mengenai usahawan Melayu-Bumiputera misalnya, perlu dipantau dan dikawalselia dengan cekap dan menyeluruh oleh agensi atau badan yang berwibawa, agar tiada siapa yang terpinggir atau dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan individu, institusi atau parti tertentu semata- mata.

Peka dengan situasi ini, Biro Ekonomi akan menyusuli tindakan menggunakan kepakaran dan pengalaman yang ada untuk berinteraksi dengan jabatan dan agensi kerajaan, pemimpin korporat dan badan-badan bukan kerajaan bagi mengusahakan langkah meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat bandar, pinggir bandar dan luar bandar khususnya golongan B40 dalam aspek kemahiran keusahawanan, kepimpinan perniagaan dan pengurusan ekonomi pekerja.

“Perubahan sikap orang Melayu-Bumiputera perlu ditangani dengan memperkayakan mereka dengan ilmu pengetahuan, kepakaran, belajar berdikari, tahu selok belok mengurus perbelanjaan, menabung, melabur dan membina keluarga bahagia,” katanya.

Malah kemunculan Revolusi Perindustrian 4.0 tidak dilihat sebagai suatu ancaman tetapi diterima sebagai satu peluang dalam menggerakkan kebolehan dan keupayaan selepas meneroka dan memahami kaedah pelaksanaan pelbagai jenis karier dalam persektif yang baru, kata Abdul Aziz.

Biro Ekonomi percaya bahawa Agenda Bumiputera ini boleh dicapai melalui keserasian yang lebih padu dalam kalangan setiap lapisan pemimpin Bersatu dengan
penglibatan aktif dan agresif generasi muda Armada dan Srikandi.- MalaysiaGazette