Home Politik Tuduh orang kotor, sendiri main lumpur

Tuduh orang kotor, sendiri main lumpur

Ir. Khairil Nizam Khirudin
Ir. Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Pas meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin menghentikan kenyataan yang mendakwa parti itu suka menabur fitnah berhubung isu perkauman dan agama.

Sebagai ahli politik berpengalaman, Presiden Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu pernah melalui sendiri segala sepak terajang dunia politik dan beliau tidak sepatutnya menafikannya.

Menurut Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin, Muhyiddin sepatutnya lebih matang, bukan melalut semberono mencipta fitnah di sebalik dakwaan fitnah yang dituduhkannya kepada Pas.

“Dia pernah berada di jawatan tertinggi negara dan kini mengetuai parti yang memimpin kerajaan, seharusnya lebih berhemah dan matang.

“Menuduh Pas menabur fitnah perkauman dan agama semata-mata untuk memburukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak lebih menggambarkan semarak angkuh dan sombong dalam dirinya.

“Atau kata-kata (tuduhan) itu yang diungkapkan sempena Perhimpunan Agung Tahunan PPBM baru-baru ini, lebih bersifat untuk menutup kelemahannya sendiri,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Jumaat lalu, ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Tahunan Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Muhyiddin dilaporkan berkata, UMNO dan Pas akan terus menabur fitnah perkauman dan agama semata-mata untuk memburukkan kerajaan PH di mata umat Islam.

Kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu, ia amalan politik yang amat tidak sihat, selain meracuni pemikiran umat Islam.

Mengulas lanjut, Ir Khairil Nizam menjelaskan, selama ini walaupun isu perkauman dan agama sering dibangkitkan pihak ekstrem atau berkepentingan, tetapi tidak mengundang kejadian buruk yang besar.

Bagaimanapun, katanya, sejak PH mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan, terlalu banyak unsur perkauman menjadi tegang dan paling malang agama dipermain dan dihina.

Malah, ujar beliau, Islam yang menjadi agama persekutuan negara ini termasuk umat dan institusinya diancam digugat sehingga Majlis Raja-raja Melayu juga tidak senang dengan keadaan itu.

“Paling tragik apabila ada yang terkorban nyawa dan melatanya keresahan dalam kalangan rakyat kebanyakan dan semua unsur itu datang dari dalam PH.

“Rakyat seluruh negara menjadi saksinya, tetapi di mana tindakan Muhyiddin selaku Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab dalam hal tersebut?

“Bahkan tempelakan Muhyiddin kepada Pas itu bukan sahaja berbaur permusuhan, ia juga membela sekutu sendiri yang berkelakuan pemusnah dan melampau,” katanya. – MalaysiaGazette