Home Nasional Dulu ejek kini Guan Eng laksana idea BN

Dulu ejek kini Guan Eng laksana idea BN

Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Presiden MCA menempelak Lim Guan Eng kerana cakap tidak serupa bikin.

Ini kerana, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu pernah ‘mengejek’ kerajaan Barisan Nasional (BN) yang berjanji untuk menghapuskan tol di Jambatan Pulau Pinang jika memenangi pilihan raya umum yang lalu.

Sedangkan, Guan Eng berjanji akan memansuhkan tol bagi semua kenderaan jika rakyat memilih Pakatan Harapan (PH).

“Beliau berkata, jika PH menang, tol di Jambatan Pulau Pinang akan dimansuhkan serta-merta untuk semua kenderaan dan bukan hanya motosikal sahaja,” kata Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dalam kenyataan hari ini.

Tetapi apa yang berlaku hari ini, katanya, Menteri Kewangan itu hanya memansuhkan tol bagi motosikal sahaja – sama apa yang dijanjikan oleh BN dan perkara sama yang menjadi bahan ejekan beliau terhadap BN sebelum ini.

Ka Siong mendakwa, pemansuhan tol motosikal bagi Jambatan Pulau Pinang dan Linkedua itu pun bukan ditamatkan secara kekal seperti yang diumumkan oleh kerajaan PH.

Sebaliknya, kerajaan perlu membayar pampasan sebanyak RM20 juta kepada syarikat-syarikat konsesi setiap tahun.

“Jumlah RM20 juta itu adalah sama dengan nilai cukai tersembunyi yang dikutip oleh kerajaan PH apabila tidak mengurangkan harga minyak sebanyak 30 sen seliter sejak dua bulan lalu,” ujarnya.

Secara sinis, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu bertanya: “Bolehkah Guan Eng menjelaskannya?”. – MalaysiaGazette