Home Ekonomi Media Prima beli kepentingan TanTanNews

Media Prima beli kepentingan TanTanNews

KUALA LUMPUR _ Unit Media Prima Digital Sdn Bhd (MPD), Rev Asia Holdings Sdn Bhd, mengambil alih 25 peratus kepentingan dalam Monster Scape Sdn Bhd, pemilik dan penerbit portal berita sosial berbahasa Cina, TanTanNews.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Rev Asia akan mewakili portal berita dalam talian tersebut sebagai rakan penjualan semula pengiklanan eksklusif, kata Media Prima Bhd menerusi kenyataan hari ini.

MPD ialah anak syarikat milik penuh Media Prima.

TanTanNews ialah portal berita media sosial dan kandungan berbahasa Cina yang memberi tumpuan kepada berita terkini dan cerita semasa berkaitan hiburan, pelancongan, fesyen serta gaya hidup.

Dilancarkan pada 2013, ia berkembang menjadi sebuah jenama terkenal dan menjadi sumber kepada kebanyakan pelawat dari Malaysia dan seluruh dunia.

Menurut Google Analytics, TanTanNews merekodkan 2.8 juta paparan halaman dan satu juta pengguna pada November 2018.

“Usaha sama ini akan membolehkan kami untuk memberi tumpuan kepada teknologi dalam membangunkan lebih banyak produk inovatif untuk untuk semua pengguna kami di Media Prima Digital dan TanTanNews secara menyeluruh,” kata pengasas TanTanNews, Sean Teoh.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital Rafiq Razali berkata, terdapat pemintaan besar untuk kandungan berbahasa Cina daripada audiens dan pengiklan, dan menambah pengambilalihan itu akan mengukuhkan lagi kedudukan Media Prima sebagai kumpulan syarikat media digital tempatan terbesar di Malaysia.

“Kami akan terus mengenal pasti pengambilalihan dan usaha sama strategik yang akan memacu pertumbuhan kepada kumpulan dalam segmen digital,” katanya.

Rev Asia – syarikat media digital terbesar di Asia Tenggara dengan gabungan purata 8.4 juta pengunjung unik – mempunyai portfolio popular yang luas dengan jenama dalam talian popular seperti SAYS, OhBulan!, Rojaklah, Viral Cham, 8coin, Sirap Limau, MyResipi, Kongsi Resipi, JUICE dan paling baru, Mashable Southeast Asia.

Disenarai di Papan Utama Bursa Malaysia, Media Prima ialah syarikat media bersepadu penuh Malaysia dengan perniagaan menyeluruh berkaitan media di televisyen, percetakan, radio, pengiklanan luar rumah, kandungan dan media digital. – MalaysiaGazette