KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) melantik Hanizan Hood sebagai ketua pegawai pelaburannya berkuat kuasa pada 1 Januari 2019 menggantikan Datuk Idris Kechot yang bersara.
Hanizan yang berkhidmat selama 22 tahun bersama PNB kini bertanggungjawab menyelia dan mengawasi operasi harian semua unit di Bahagian Pengurusan Aset yang merangkumi Pengurusan Dana, Peruntukan Aset Strategik, Operasi Pasaran Ekuiti, Pendapatan Tetap, Analisa Pelaburan dan Jabatan Ekonomi.
Beliau memulakan tugas di PNB sebagai pelatih graduan pada tahun 1996.
Sepanjang kerjayanya di PNB, Hanizan telah berkhidmat dalam pelbagai bidang merangkumi Penyelidikan Ekuiti, Pasaran Kewangan, Pendapatan Tetap dan Pengurusan Portfolio.
Graduan ekonomi dari Northwestern University, Amerika Syarikat ini juga memegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal dan baharu sahaja menamatkan Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School.
Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz menyampaikan ucapan tahniah kepada Idris yang telah berkhidmat selama lebih 34 tahun bersama firma pengurusan dana tersebut.
“Datuk Idris adalah antara ahli Pengurusan Kanan PNB yang terawal dan banyak mencurah jasa.
“Bagi pihak Lembaga Pengarah, Pengurusan dan kakitangan PNB, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Idris atas sumbangan berharga beliau kepada Kumpulan PNB,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-MalaysiaGazette