PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan kemungkinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bergabung dengan UMNO.
Dr. Mahathir berkata, ahli UMNO bagaimanapun boleh meninggalkan parti itu dan memohon untuk menyertai PPBM.
“PPBM akan menyemak dan membuat keputusan untuk menerima mereka atau sebaliknya.
“Kalau sudah curi duit dan didakwa di mahkamah, mana boleh kami menerima orang macam ini?” katanya dalam wawancara bersama Sinchew Daily.
Ditanya mengenai UMNO yang dalam keadaan nyawa-nyawa ikan selepas berlaku gelombang keluar parti, Dr. Mahathir berkata, bukan beliau tetapi Datuk Seri Najib Tun Razak yang memusnahkan UMNO.
Sebagai bekas pemimpin UMNO, Dr. Mahathir juga mengakui beliau berasa sedih dengan keadaan parti itu.
Dalam isu lain tentang pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Dr. Mahathir berkata, perkara itu harus mengambil kira perasaan orang Melayu.
“Pengiktirafan UEC senang dan hanya perlu tandatangan sahaja, tetapi kami perlu masa untuk membawa dua tiga kaum dan pribumi Sabah Sarawak untuk sampai ke tahap pembangunan ekonomi yang sama tahap.
“Ada insiden menyerang di sesetengah negara, tetapi Melayu, Cina dan India di Malaysia dapat hidup dan kerja bersama,” katanya. – MalaysiaGazette