Home Utama Dua pegawai Jabatan Laut mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah

Dua pegawai Jabatan Laut mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah

Dua pegawai Jabatan Laut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini hari ini, atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM120,000, empat tahun lepas.
Dua pegawai Jabatan Laut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini hari ini, atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM120,000, empat tahun lepas.

JOHOR BAHRU- Dua pegawai Jabatan Laut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini hari ini, atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM120,000, empat tahun lepas.

Tertuduh Sanizam Bachok dan Nor Yazid Khairi Mohamad Nor, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan hakim Kamarudin Kamsun.

Sanizam, 45, yang ketika itu bertugas di Jabatan Laut Malaysia Wilayah Selatan dekat sini, didakwa meminta suapan sebanyak RM70,000 daripada Lim Tiam Lay, 44, pada pukul 6.00 petang di Restoran Subway di Persiaran Ledang pada 25 Nov 2015.

Wang suapan itu sebagai dorongan untuk mengeluarkan surat kelulusan beroperasi atas kapal Hai Tai 1, Hai Tai 2 dan Hai Tai 3.

Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, Sanizam yang kini bertugas di Pulau Pinang juga didakwa, memperoleh suapan untuk diri sendiri iaitu wang tunai sebanyak RM50,000 daripada Tiam Lay sebagai dorongan bagi melakukan perbuatan mengeluarkan surat kelulusan beroperasi atas kapal Hai Tai 1, Hai Tai 2 dan Hai Tai 3.

Beliau didakwa melakukan perbuatan tersebut di restoran Subway di Persiaran Ledang, Iskandar Puteri pada pukul 11.10 pagi pada 27 Nov 2015.

Bagi kesalahan tersebut, Sanizam didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman yang sama jika sabit dengan kesalahan.

Nor Yazid, 48, pula didakwa secara bersubahat dengan tertuduh pertama meminta suapan berupa wang tunai berjumlah RM70,000 daripada Tiam Lay pada pukul 6 petang di Restoran Subway di Persiaran Ledang pada 25 Nov 2015 sebagai dorongan untuk mengeluarkan surat kelulusan beroperasi atas kapal Hai Tai 1, Hai Tai 2 dan Hai Tai 3.

Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 24 akta sama yang memperuntukan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Nor Yazid yang masih bertugas di Johor Bharu juga didakwa bersubahat secara rasuah memperoleh suapan iaitu wang tunai RM50,000 daripada Tiam Lay sebagai dorongan bagi melakukan perbuatan mengeluarkan surat kelulusan beroperasi atas ketiga kapal yang sama.

Bagi pertuduhan kedua itu, Nor Yazid didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama seksyen 17(a) dan seksyen 24 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman yang sama jika sabit dengan kesalahan.

Hakim kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin ke atas kedua-dua tertuduh dan menetapkan 10 Feb ini sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM Norsyarina Raizan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

— BERNAMA