KUALA LUMPUR – Tindakan mengenakan denda kepada peniaga kecil sekiranya terdapat pelanggan yang menghisap rokok di premis mereka adalah tidak wajar dan sememangnya membebankan, kata Presiden Dewan Perdagangan ASEAN, Datuk Moehamad Izat Emir.
Beliau berpendapat meskipun kerajaan turut mengenakan hukuman kepada perokok, namun perkara itu tidak bermakna ia akan dipatuhi sepenuhnya oleh pelanggan memandangkan peniaga juga tidak mampu untuk mengawal tindak-tanduk mereka.
“Tempiasnya akan dihadapi oleh peniaga, mereka tidak boleh mengawal pelanggan daripada tidak merokok dan mengikut peraturan yang dilaksanakan kerajaan.
“…langkah drastik yang diambil kerajaan mengenai penguatkuasaan ini sedikit sebanyak memberi kejutan kepada peniaga terutamanya peniaga kecil,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Pada Oktober lepas, Kementerian Kesihatan mengumumkan larangan merokok di semua restoran, kopitiam dan pusat penjaja, malah tempat makan di ruang terbuka, di seluruh negara, berkuat kuasa 1 Jan lalu.
Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan akan didenda sehingga RM10,000 atau berdepan hukuman penjara dua tahun manakala pemilik premis makanan yang gagal memastikan pelanggan tidak merokok akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih satu tahun.
— BERNAMA