KUALA LUMPUR – Seorang pemandu peribadi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan cedera dengan memukul kepala isterinya menggunakan seterika dan plug penyambung, minggu lepas.
R.Chandra Mohan, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.
Lelaki itu didakwa dengan sengaja mencederakan wanita berumur 34 tahun yang bekerja di bahagian pentadbiran, dengan memukul mangsa di bahagian kepala menggunakan seterika dan plug penyambung di sebuah rumah di Bandar Baru Sentul di sini pada 1.30 pagi, 29 Dis 2018.
Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad tidak menawarkan sebarang jaminan, bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam M.Mathavan memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan dia penanggung tunggal keluarga.
“Anak guam saya bekerja sebagai pemandu peribadi dengan pendapatan RM2,500 sebulan serta perlu menanggung seorang anak berumur sembilan bulan dan isteri. Jadi saya pohon jaminan dibenarkan,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang menganggu saksi pendakwaan dan mangsa serta menetapkan 17 Jan untuk sebutan semula kes.
— BERNAMA