KANGAR – Nampaknya sebahagian daripada imam di Perlis yang didakwa kena pecat tidak berpuashati dengan alasan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.
Selepas solat Jumaat tadi, sekumpulan kira-kira 150 ahli kariah Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Guar Syed Alwi berhimpun bagi membantah ‘pemecatan’ imam di masjid itu.
Ada dalam mereka membawa kain rentang tertulis ‘Kami membantah penyingkiran Imam Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Guar Syed Alwi’ dan ‘Pecat mufti dan bukannya pecat imam’.
Menurut Utusan Online, jurucakap kumpulan itu, Zainol Abidin Ahmad, 69, berkata, mereka mencabar Mohd. Asri tampil dan memberi sebab dengan jelas punca imam-imam berkenaan dipecat dan bukannya berselindung di sebalik istana.
Katanya, alasan diberikan Mohd. Asri dalam ceramahnya semalam, bahawa imam-imam berkenaan sudah berusia, suka berpolitik dan tidak berdisiplin tidak boleh diterima.
“Ini kerana ada imam di kawasan lain yang berusia 70-an dan 80-an tetapi masih dikekalkan, malah Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) juga berusia 94 tahun dan masih boleh bekerja.
“Sila nyatakan dengan jelas bahawa imam-imam ini dipecat adalah kerana mereka mengamalkan bacaan bismillah secara jelas sebelum al-fatihah, membaca qunut pada solat subuh, membaca Yasin pada malam Jumaat serta berzikir dan membaca doa kuat selepas solat fardhu,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, mengulas perhimpunan bantahan berkenaan, Mohd. Asri dilaporkan menyifatkan tindakan segelintir imam yang membantah penamatan jawatan mereka adalah disebabkan soal elaun yang tidak lagi diterima.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan sesetengah jemaah masjid yang mengadakan bantahan berhubung soal pemecatan itu adalah tidak memberi sebarang manfaat kerana keputusan yang telah dibuat itu sudah muktamad.
“Himpunan itu tidak dapat mengembalikan semula jawatan kesemua imam yang ditamatkan kontrak itu.
“Sebenarnya faktor utama mereka ini membuat bantahan adalah disebabkan elaun dan selesa menerimanya melalui peruntukan sedia ada sebelum ini,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette