Home Politik UMNO pula mahu kerusi Cameron Highlands?

UMNO pula mahu kerusi Cameron Highlands?

KUALA LUMPUR – Jika sebelum ini teka teki siapakah calon kerusi P078 dalam kalangan pimpinan MIC, kini muncul pula desas- desus UMNO ‘mendesak’ mahu kerusi itu diberikan kepada komponen terbesar Barisan Nasional (BN) itu.

Sejak semalam, Malaysia Gazette difahamkan, ada segelintir pimpinan dalam kalangan UMNO bukan sahaja  telah menyatakan hasrat untuk bertanding kerusi Cameron Highlands yang juga disifatkan laluan ‘selamat’, malah sudah mula mendesak.

Menurut sumber, Cameron Highlands berkemungkinan besar akan mengembalikan kembali ‘maruah’ BN yang kalah besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK).

Analisis serta keadaan semasa termasuk sokongan dalam kalangan warga Cameron Highlands sendiri menyebabkan laporan ‘ground’ kuat mengatakan kemenangan akan berpihak kepada BN sehingga menyebabkan ada pihak dalam kalangan UMNO secara tiba-tiba menjadi ‘tamak’.

Kata sumber yang juga merupakan pemimpin BN, belum ada sebarang keputusan muktamad yang mengatakan MIC akan bertanding kerana kini ‘suasana’ secara tiba-tiba sudah berubah.

“Bagi saya ini sudah tidak betul. Secara tiba-tiba setelah semuanya berubah kerana mungkin kita boleh menang? Hakikatnya ini tidak betul. Mengapa pula minta kerusi yang menjadi kerusi tradisi yang dimenangi oleh MIC selama ini?

“Sejak dua tiga hari ini, UMNO dikatakan sedang berbincang dan mahu kerusi itu diberikan kepada mereka dan MIC hanya sekadar membantu untuk kemenangan tersebut.

“UMNO tidak patut jadi seperti ‘kacang lupakan kulit. Jangan sesekali lupa, selama ini sejak wujudnya parti Perikatan, tidak pernah MIC berpaling tadah terhadap UMNO. Walaupun selepas PRU lepas, semangat setia kawan MIC terhadap UMNO jauh lebih utuh berbanding komponen lain.

“Sehingga saat ini, MIC masih lagi menjunjung semangat setia kawan itu, tolong jangan tidak kenang semua budi yang telah ditaburkan oleh MIC. Ketika susah, MIC tetap kekal menyokong tanpa berbelah bahagi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah sumber itu, pembatalan kemenangan kerusi Cameron Highlands juga bukan kerana salah bekas penyandangnya, Datuk C. Sivarraajh sebaliknya ada dakwaan wujudnya unsur rasuah dalam kalangan pimpinan BN dan bukannya Sivarrajh.

Perkembangan terbaru ini ternyata meresahkan segelintir pihak bukan sahaja MIC tetapi keseluruhan komponen itu sendiri kerana masing-masing sudah mengimpikan kemenangan besar buat kali pertama setelah sekian lama sejak penubuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Malah, jika benar permintaan itu ada kebenarannya, UMNO seharusnya bermuasabah diri terlebih dahulu kerana MIC bukan sahaja telah secara perlahan-lahan sedang membina kembali keyakinan umum terhadap parti itu malah kerja keras selama ini di kawasan itu juga seolah-olah tidak membawa hasil.

Sejak insiden kuil Sri Maha Mariamman di Seafields, ramai juga secara perlahan-lahan menyokong MIC walaupun bilangannya masih kecil.

Meskipun PH mempunyai empat Menteri dalam kalangan masyarakat India tetapi semuanya gagal bersuara pada awalnya.

Ini kerana masing-masing mewakili parti berbilang kaum manakala MIC masih kekal menjadi parti untuk masyarakat India dan masih bersuara untuk komuniti ini.

Peluang untuk parti itu menebus kembali maruah mereka, sekali gus membawa kembali kegemilangan BN secara perlahan-lahan  mungkin terbantut sekiranya UMNO mahu bertegang urat untuk kerusi ini.

Ini bukan masa untuk bercakaran antara satu sama lain, sebaliknya semua sepatutnya bersatu bagi kemenangan atau biarkan sahaja Pakatan Harapan (PH) yang sukar melolosi kubu kuat MIC itu untuk menang  mudah disebabkan hasrat UMNO ini.

Dua minggu lepas, UMNO sebulat suara telah menyatakan kerusi Cameron Highlands akan diserahkan kepada MIC, malah telah menyerahkan keputusan berhubung calon diputuskan oleh MIC sendiri.

Masing-masing dalam komponen juga telah menyatakan sokongan malah Pas tampil memberikan sokongan kepada MIC dengan tidak meletakan calon.

Sebaliknya Pas berikrar untuk membantu jentera BN mencapai kemenangan kali di Cameron Highlands walaupun sebelum  ini calon Pas, Wan Mahadir Wan Mahmud telah mendapat 3,587 undi.

Semalam PH sudah membuat pengumuman calon mereka, M. Manogaran akan bertanding di kawasan kontroversi itu manakala Presiden MyPPP, Tan Sri Kavyeas juga dijangka membuat pengumuman untuk bertanding di situ atas tiket MyPPP.

Keputusan berhubung siapakah calon BN akan di umumkan pada 10 Januari akan datang masih menjadi teka-teki. Agaknya,  calon BN daripada parti mana. – MalaysiaGazette