KUALA LUMPURÂ – Sudah tiba masanya orang-orang politik khususnya wakil-wakil rakyat yang terlibat dalam membuat dasar melihat kepentingan seni muzik seiring dengan perubahan landskap politik negara sesudah 9 Mei lepas.
Naib Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Jelebu, Mustafa Kamal Abdul Rahman berkata, industri muzik negara sebenarnya suram dan kerancakan menghasilkan karya-karya kreatif perlu dilonjakkan kembali..
“Dahulu sekitar era 80an, Malaysia menjadi ‘kuasa muzik’ melalui genre rock di peringkat serantau. Rock Malaysia yang dikenali sebagai Rock Kapak telah mengangkat industri seni muzik tanahair.
“Ia bukan setakat melahirkan kumpulan-kumpulan rock dan penyanyi-penyanyi berbakat malah memunculkan pencipta-pencipta lagu genre ini antaranya M.Nasir, LY Baiduri, JS Kevin, Bob Lokman dengan sentuhan muzikal, melodi dan lirik yang berkesan hingga kini,” katanya kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.
Mustafa Kamal yang juga pemain drum, komposer dan penulis lirik kumpulan muzik metal Farasu berkata, identiti nusantara dalam lagu-lagu rock kapak terserlah membuatkan ia menjadi tarikan istimewa muzik rock Malaysia sebelum ini.
“Campur tangan politik melalui pada penghujung era 80an atas isu ‘rambut panjang’ telah menjejaskan kerancakan muzik rock.
“Tiga perkara penting yang berperanan menjadi ‘elemen penyatuan masyarakat’ iaitu sukan, makanan dan muzik.
“Seharusnya dalam kerangka politik Malaysia Baru, proses penyatuan masyarakat secara positif boleh disemai-pupuk melalui muzik,” katanya.
Katanya, muzik bentuk baharu dan moden yang ditampilkan oleh generasi milenium seperti ‘modern rock’, ‘street rock’, ‘metal’, ‘grunge’ sudah patut diberi ruang.
“Genre muzik ini perlu diberi pendedahan kreatif yang bebas daripada sebarang ideologi bertentangan dengan adat dan kesopanan masyarakat di sini.
“Persepsi sempit yang ditanam secara salah menyebabkan majoriti masyarakat mentafsir negatif muzik genre-genre moden ini,” katanya.
Katanya lagi, penggiat-penggiat muzik moden generasi milenium tanahair sebenarnya memerlukan platform untuk berkarya secara positif dan jauh sekali untuk menyebar elemen-elemen negatif.
“Maka sokongan wakil-wakil rakyat dalam kelompok pembuat dasar lebih terbuka untuk membawa inspirasi generasi baharu Malaysia di bidang seni muzik.
“Sokongan kerajaan melalui pemberian insentif-insentif khusus kepada penggiat-penggiat muzik aktif sebenarnya paling diperlukan.
“Sudah ada pemuzik-pemuzik anak tempatan yang bergerak secara sendiri (indie) ke peringkat antarabangsa melebarkan perjuangan seni. Secara langsung mereka membawa nama negara ke pentas muzik antarabangsa,” katanya.
Beliau turut berkata, ia menjadi satu cabaran kepada ahli politik muda Pakatan Harapan (PH) untuk menyusuri dan menyelami inspirasi generasi milenium khusus dalam seni muzik.
“Selain pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan dan pendidikan, kepentingan seni muzik sepatutnya tidak dipandang sepi dan bukan sekadar menjadi ‘alat kempen pilihanraya’ untuk menarik undi generasi muda.
“Kegemilangan Malaysia dalam muzik serantau harus dibangkitkan kembali,” katanya lagi. – MalaysiaGazette