
KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka berdepan cabaran pada minggu depan, diasak ketidaktentuan pasaran berikutan pertikaian perdagangan serta kelembapan ekonomi global yang menyebabkan para pelabur mengelak risiko.
Ketua Penyelidik Pasaran dan Strategi Mata Wang Global FXTM, Jameel Ahmad berkata, ringgit juga berkemungkinan berisiko untuk mencecah nilai di bawah RM4.15 berbanding dolar US pada minggu depan.
“Unit tempatan itu sebenarnya telah mencatat prestasi baik pada minggu ini dalam keadaan pasaran tidak menentu yang ketara berikutan kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi global pada 2019.
“Malah, saya turut menjangkakan mata wang itu akan susut kerana pelabur enggan melabur di pasaran sedang pesat membangun kerana wujudnya ketidakpastian yang ketara,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya, ringgit dan pasaran sedang pesat membangun di seluruh dunia juga berdepan risiko penyusutan dagangan pada minggu depan akibat faktor kelemahan pasaran yang terus mempengaruhi pasaran kewangan global.
“Tempoh beberapa hari pertama pada tahun ini juga seakan tidak mesra pasaran kewangan apabila menyaksikan aktiviti jualan saham dan penyusutan pasaran mata wang yang ketara sehingga menyebabkan beberapa mata wang rugi termasuk pound Britain, dolar Australia dan lira Turki manakala yen Jepun meningkat secara keseluruhannya,” katanya.
Walaupun ringgit serta kelompok mata wang serantau Asia terkecuali daripada masalah itu, beliau berkata, keadaan persekitaran yang terus berisiko akan terus menjejaskan minat risiko dengan jangkaan bahawa pasaran sedang pesat membangun akan berdepan satu lagi pusingan jualan yang ketara.
“Saya akan turut memantau untuk melihat sama ada ringgit akan jatuh di bawah paras 4.15 minggu depan kerana ini akan meningkatkan jangkaan pasaran bahawa mata wang Malaysia akan beransur-ansur menghampiri tahap 4.20 pada minggu-minggu mendatang,” katanya.
Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit ditutup kebanyakannya rendah berbanding dolar US dengan sentimen pasaran dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi global dan data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) yang lemah sebagaimana diumumkan pada awal minggu ini.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit mengukuh kepada 4.1340/1370 berbanding dolar US daripada 4.1500/1550, sebelum ini.
Ringgit bagaimanapun turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0357/0395 daripada 3.0336/0384 tetapi meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2378/2432 berbanding 5.2468/2548.
Berbanding euro pula, ringgit mengukuh kepada 4.7144/7199 daripada 4.7488/7550 namun susut berbanding yen Jepun kepada 3.8260/8298 daripada 3.7597/7653. – MalaysiaGazette