Home Nasional Sindiket seludup burung murai ke Indonesia tumpas

Sindiket seludup burung murai ke Indonesia tumpas

Sebahagian burung murai batu yang dirampas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor di KM 32.8 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan hentian Kulai pagi semalam.

JOHOR BAHRU – Satu sindiket penyeludupan burung murai batu ke Indonesia berjaya ditumpaskan dengan rampasan sebanyak 247 burung itu yang dianggarkan bernilai RM200,000 di KM 32.8 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan hentian Kulai pagi semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri, Jamalun Nasir berkata, dalam serbuan pada 6.10 pagi itu, dalang sindiket terdiri daripada seorang rakyat tempatan dan dua lelaki Indonesia berusia dalam lingkungan 40an turut ditahan.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, burung murai batu atau nama saintifiknya Copysychus Malabaricus itu dijual di pasaran dengan harga dianggarkan antara RM300 sehingga RM3,000 bagi seekor mengikut gred.

“Serbuan hasil risikan pihaknya itu dijalankan semasa kesemua suspek bersama barang rampasan ketika sedang memindah burung murai batu dari bas ekspres ke sebuah kereta jenis Proton Wira.

“Kita percaya hidupan liar berkenaan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran, Indonesia dan ia melibatkan sindiket penyeludupan hidupan liar antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 60(2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 iaitu memburu atau menyimpan mana-mana hidupan liar yang dilindungi melebihi 20 kepala.

Sebahagian burung murai batu yang dirampas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor di KM 32.8 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan hentian Kulai pagi semalam.
Sebahagian burung murai batu yang dirampas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor di KM 32.8 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan hentian Kulai pagi semalam.

Kes itu juga, tambahnya, turut disiasat mengikut Seksyen 61 iaitu memburu atau menyimpan mana-mana hidupan liar yangg tidak matang serta Seksyen 62 iaitu memburu atau menyimpan mana-mana hidupan liar betina yang tidak dilindungi.

“Jika disabitkan kesalahan jumlah denda maksimum yang boleh dikenakan ialah sehingga RM250,000 dan penjara selama 13 tahun,” katanya. – MalaysiaGazette.