Home Utama Saya tandatangan semua operasi TH, mana ada Menteri Kewangan! – Mujahid

Saya tandatangan semua operasi TH, mana ada Menteri Kewangan! – Mujahid

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berucap pada Majlis Amanat Bersama Warga Agensi Agama di Kompleks Islam Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2019.

PUTRAJAYA – Lembaga Tabung Haji (LTH) yang diletakkan di bawah Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) hanya untuk mengawal selia pengurusan kewangan korporat sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan, langkah itu bukan bermakna entiti yang menjaga kepentingan umat Islam itu dijual kepada mana-mana pihak bukan Islam.

“Orang kata TH duduk bawah Kementerian Kewangan, iaitu Lim Guan Eng dan DAP, habislah.

“Yang masih tandatangan semua operasi TH masih saya lagi, yang minta keputusan pun masih saya, mana ada menteri kewangan!

“Jangan kata kita nak jual TH kepada Kementerian Kewangan, Bank Negara ambil alih semua, itu semua kenyataan palsu.

“Ia hanya diguna untuk tidak memberi kredit kepada kita (Pakatan Harapan),” katanya berucap pada Majlis Perjumpaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bersama Warga Agensi Agama di Kompleks Islam Putrajaya, di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof diiringi Timbalannya, Fuziah Salleh (dua kiri) melakukan gimik pra pelancaran Pelan Strategik Agensi Agama Persekutuan pada Majlis Amanat Bersama Warga Agensi Agama di Kompleks Islam Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2019.

Beliau mengulas dakwaan pemimpin Barisan Nasional (BN) sebelum ini bahawa TH cuba dijual apabila pengurusan kewangannya diletakkan di bawah Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia.

Langkah kerajaan itu dibuat selepas TH membuat dua laporan polis membabitkan bekas pengerusi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah.

TH membuat laporan polis melibatkan Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017 apabila dana sejumlah RM22 juta dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik.

Pemegang amanah YTH ketika itu ialah Abdul Azeez, Ismee, Johan, Adi Azuan dan Rozaida.

Laporan polis kedua dibuat terhadap Ismee, Hazlinda dan Rifina berkaitan salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting membabitkan penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang dua anak syarikatnya iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) untuk AS$910 juta (RM3.8 billion) pada 2012.

Mujahid juga berkata, meskipun beliau akui berat baginya untuk mendedahkan tentang salah laku dan penyelewangan yang berlaku dalam TH, namun ia terpaksa dilakukan demi menjaga kepentingan 9.7 juta pendepositnya.

“Kami merancang untuk mendedahkan masalah ini bukan satu hari, kita ada perancnagan sebab kita merasakan TH ini kepentingan umat Islam.

“Kita cuba membaikinya agar TH ini kembali kepada zaman keagungannya, bila profil perniagaan dia bagus, ikut prosedur sudah tentu yang untungnya ialah pendeposit iaitu mereka yang nak buat haji.

“Maknanya kepentingan itu terlalu besar, untuk kita gadaikan semua ini maka kita ambil keputusan yang sukar dan susah, terpaksa didedahkan tetapi kita tiada pilihan.

“Bagi menjaga martabat TH supaya maju lagi ke hadapan maka anggaplah pendedahan ini sebagai langkah untuk kita baik pulih. Saya diberi jaminan 2019 Tabung Haji akan kembali ke landasan yang benar dan asal Insya-Allah,” kataya lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: Mohammed Nor pengerusi, Zukri CEO Tabung Haji

ARTIKEL BERKAITAN: Tabung Haji serah aset kepada MoF