Home Uncategorized Hasil siasatan kerugian matawang asing dibentang tiga bulan lagi

Hasil siasatan kerugian matawang asing dibentang tiga bulan lagi

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Khas Siasatan Kerugian Mata Wang Asing Bank Negara dijangka membentangkan hasil penemuan siasatan dalam tempoh tiga bulan kepada kabinet.

Pengerusinya, Tan Sri Sidek Hassan berkata, antara skop siasatan adalah berkaitan kerugian Bank Negara di dalam aktiviti spekulasi urusniaga mata wang asing, sejauh mana terdapat tindakan menyembunyikan maklumat kerugian tersebut dan mengkaji jika ada perbuatan memberi kenyatan mengelirukan mengenai perkara tersebut pada mesyuarat Parlimen.

Pasukan petugas tersebut juga bakal mengemukakan syor-syor kepada kerajaan mengenai tindakan susulan termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja sekiranya perlu bagi meneruskan siasatan dengan lebih terperinci.

“Dalam usaha untuk mencapai matlamat ini, Pasukan Petugas Khas akan meneliti semua aspek kes seperti peranan dan fungsi Bank Negara atau mana-mana badan korporat atau individu dalam urus niaga spekulasi mata wang asing termasuk perkara berkaitan dengan kelulusan dan pengurusan aktiviti tersebut.

“Pematuhan undang-undang, peraturan dan garis panduan yang berkaitan dengan peranan dan fungsi Bank Negara dalam urusniaga mata wang asing dan siasatan sekiranya terdapat apa-apa tindakan untuk menutup skala sebenar kerugian Bank Negara dan individu terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Sidek, Pasukan Petugas Khas itu terdiri daripada enam ahli iaitu Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Azam Baki; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani; Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Tan Sri Ranjit Ajit Singh; Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Wang Amanah Persaraan; Datuk Wan Kamaruzzaman Wan Ahmad; Pengerusi Bersama Pemudah, Tan Sri Saw Choo Boon dan Rakan Kongsi Guaman, Jaharberdeen & Co., Datuk Seri Jaharberdeen Mohamed Yunoos.

Pada Februari lalu, Kabinet telah menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat  kerugian mata wang asing Bank Negara yang berlaku sekitar 1990-an.

Dalam pada itu, Sidek menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung perkara tersebut supaya tampil berkongsi maklumat menerusi saluran-saluran berikut:-

Sekretariat Pasukan Petugas Khas, Aras 5, Blok Tengah, Kompleks Kementerian Kewangan, No.5, Persiaran Perdana, Presint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62592, Putrajaya.

Mereka juga boleh dihubungi melalui emel di [email protected] atau di talian 03-8000 8000