Home Nasional Pembelian kereta baharu kerajaan negeri ikut proses biasa – MB

Pembelian kereta baharu kerajaan negeri ikut proses biasa – MB

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

SEREMBAN – Menteri Besar Aminuddin Harun hari ini menjelaskan bahawa pembelian kereta baharu untuk kegunaan rasmi Menteri Besar dan beberapa anggota pentadbiran negeri tidak menjadi isu kerana ia telah diluluskan kerajaan negeri sebelum ini.

Beliau berkata pembelian kereta baharu jenis Honda Accord untuk kegunaan rasmi Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Speaker dan Timbalan Speaker, Pegawai Kewangan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Mufti Kerajaan Negeri dan 10 anggota Exco itu, yang keseluruhannya membabitkan kos lebih RM2 juta, adalah proses biasa dan tiada isu.

Katanya pembeliannya adalah mengikut proses biasa itu kereta lama yang telah berusia lima tahun boleh digantikan dengan kereta baharu.

“Proses pembelian kereta baharu ini berlaku ketika kita mula mengambi alih kerajaan negeri, bukan kita luluskan pun … kerajaan negeri (mesyuarat Exco kerajaan negeri lepas) yang luluskan pembelian kereta baharu ini.

“Apabila saya mengambil alih jawatan Menteri Besar selepas kerajaan Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, saya dimaklumkan kerajaan negeri teruskan rancangan pembelian kereta baharu setelah ia diluluskan oleh kerajaan negeri sebelum itu … jadi, saya tidak tahu tentang pembelian kereta baharu ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan pentadbiran kerajaan negeri di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Katanya kereta lama itu akan ditawarkan kepada bekas exco kerajaan negeri lama untuk membelinya sebelum ia dihapus kira.

“Kerajaan negeri dulu yang tempah (order) kereta baharu ini secara tender dan kereta-kereta baharu ini sampai pada September 2018. Pembelian kereta baharu ini adalah mengikut proses biasa dan tiada isu pun,” katanya.

Mengulas kes beberapa ekor anjing mati dipercayai akibat diracun di sebuah taman perumahan dekat sini baru-baru ini yang tular dalam media sosial sejak Sabtu lepas, beliau berkata masalah anjing liar yang berkeliaran di bandar ini dan kawasan perumahan adalah tinggi dan perlu ditangani pihak penguat kuasa dengan cermat dan berperikemanusiaan.

Seorang pencinta haiwan di ibu negara telah membuat laporan polis berhubung kes itu di Gombak,

“Apa-apa juga tindakan terhadap haiwan harus berperikemanusiaan. Jadi, kita kena dipertanggungjawabkan terhadap nyawa setiap haiwan. Saya juga meminta pihak penguat kuasa agar segera mengambil tindakan atas aduan (gangguan dan ancaman anjing liar) yang diterima. Manakala apa juga haiwan termasuk anjing yang ingin ‘dilupuskan’ harus mengikut prosedur yang diterima oleh amalan antarabangsa.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru negeri Teo Kok Seong pula berkata sebuah tempat perlindungan haiwan akan didirikan di  tanah milik kerajaan seluas kira-kira .81 hektar di Kuala Sawah, Rantau.

Katanya tempat perlindungan haiwan itu yang akan dikendalikan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kini sedang dalam proses pembinaan dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi.

“Apabila siap kelak, anjing liar yang ditangkap akan ditempatkan di perlindungan haiwan yang baharu yang boleh menampung 500 ekor dalam suatu masa. Sekarang ini kita ada sebuah perlindungan haiwan di Seremban yang dikendalikan oleh pihak NGO. Cuma, perlindungan haiwan itu tidak dapat menampung bilangan anjing liar yang banyak.

“Jika dulu, kebiasaannya anjing liar ini akan ditangkap oleh pihak berkuasa tempatan dan disimpan di suatu tempat dalam satu jangka masa yang ditetapkan dan lepas itu kita akan dilupuskan. Tetapi, apa yang kita buat sekarang ialah kita akan tangkap anjing liar ini semasa operasi bersama dengan pihak NGO dan selepas itu, anjing liar tersebut kita akan serahkan kepada NGO berkenaan untuk mengendalikannya.

“Dengan cara ini kita dapat mengurus masalah anjing liar ini dengan lebih efektif dan berperikemanusiaan,” katanya.

— BERNAMA