SHAH ALAM – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kena terima hakikat harga barang di pasaran masa kini semakin naik, bukan menurun atau terkawal.
Ini diakui sendiri Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari yang turut turun membuat tinjauan harga barangan jualan di pasar di bandaraya itu selepas selang dua hari kerajaan menurunkan harga petrol dan diesel.
Beliau berkata, walaupun Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyatakan harga barang akan turun selepas penurunan harga petrol dan diesel, namun jaminan itu adalah suatu yang tidak pasti kebenarannya.
“Mengenai keadaan negara kita dan bandaraya Shah Alam ini sendiri, kebelakangan ini kita sedang diuji dengan pelbagai isu yang menyebabkan kita menjadi resah gelisah.
“Penurunan harga minyak yang dikatakan menurunkan harga barang oleh Khalid seakan sesuatu yang tidak pasti kebenarannya.
“Buktinya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membuat tinjauan di Pasar Datuk Keramat Kuala Lumpur baru-baru ini mendengar sendiri keluhan peniaga yang mengatakan barang makanan masih tidak berubah harganya,” katanya dalam coretan Sekapur Sireh Seulas Pinang menerusi akaun Facebooknya, semalam.
Kata Azhari, jika kata-kata itu datang daripada mulut orang biasa mungkin boleh disangsikan, tetapi ia datang dari hasil tinjauan FB live Najib.
“Betapa ia membuktikan beliau prihatin dengan nasib rakyat sejak dulu hingga kini.
“Saya sebagai kepimpinan UMNO peringkat bahagian pun turut meninjau sendiri harga barang sama ada di pasar mahupun di kedai makan. Orang ramai merungut kenaikan harga barang keperluan dan terbeban untuk menyediakan perbelanjaan sekolah anak mereka awal tahun ini,” katanya.
Beliau berharap kerajaan Persekutuan berbuat sesuatu untuk mengurangkan beban kewangan rakyat bukan setakat membuat spekulasi semata-mata. – MalaysiaGazette