Home Nasional My100 catat lebih 65,000 langganan sejak 7 Januari

My100 catat lebih 65,000 langganan sejak 7 Januari

Anthony Loke
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menunjukkan Mykad yang akan digunakan sebagai Pas Perjalanan Tanpa Had pada sidang media di Pejabat Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 05 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Pas perjalanan tanpa had My100 yang diperkenalkan Kementerian Pengangkutan sejak 1 Disember lalu mencatatkan 65,125 langganan setakat 7 Januari lalu.

Menterinya, Anthony Loke berkata, langganan untuk pas bulanan tanpa had bagi My50 pula untuk perkhidmatan rel di ibu negara dan bas RapidKL pula hanya mendapat 1,577 jualan.

“Jelas daripada angka ini, My100 digemari kerana lebih ramai orang langgan kepada pakej ini iaitu lebih 65,000 orang.

“Ia satu pentujuk sangat baik ialah sehingga 31 Disember 2018, kita hanya ada langganan sebanyak 34,472.

“Tapi hanya dalam tempoh 7 hari sejak minggu lepas sahaja langganan kita melonjak 30,653 orang

“Pada 2 Januari, satu hari sahaja, 12,187 orang telah melanggan Pas My100 ini dan ia berterusan setiap hari ada beribu orang melanggannya, dan saya fikir ia adalah petunjuk baik,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Prasarana Malaysia Berhad, di sini, hari ini.

Terdahulu, Anthony menaiki Transit Aliran Massa (MRT) dari stesen MRT Kajang hingga stesen LRT Bangsar bagi menimjau sambutan orang ramai terhadap pas perjalanan tanpa had My100 dan My50.

Menurut Anthony, maklum balasnya yang beliau terima bagi hari pertama tinjauannya selepas pas bulanan itu dilancarkan tahun lepas adalah sangat positif.

“Maklum balas saya terima sangat baik, mereka mengatakan ini dapat menjimatkan perbelanjaan bulanan yang mencecah lebih RM200 sebulan untuk menaiki MRT dan LRT.

“Ada juga yang mula bertukar daripada menggunakan kereta, kini menggunakan MRT untuk pergi tempat kerja,” katanya.

Bagaimanapun Anthony berkata, beliau masih tidak boleh berpuas hati dengan jumlah pembelian pas bulanan tanpa had itu yang sebelum ini disasarkan hingga 200,000 langganan.

“Walaupun angka itu belum mencapai sasaran kita namun unjuran ini menunjukkan angka yang memberangsangkan. Saya yakin lebih ramai akan melanggan pas My100 ini

“Sasaran kita ialah sekurang-kurang 200,000 penumpang melanggan pas My100 setiap bulan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette