KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada Khamis ini.
Siapakah calon yang masih menjadi tanda tanya itu akan diketahui kira-kira jam 11 pagi yang akan diumumkan di Hotel Seri Pacific di sini.
Menurut Setiausaha Eksekutif BN, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad, nama calon itu dijangka diumumkan Timbalan Pengerusi BN yang menjalankan tugas-tugas Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan.
Walaupun sebelum ini, Tan Sri M Kayveas telah mengesahkan dirinya sebagai sebagai Presiden MyPPP akan bertanding namun pengumuman itu tidak mewakili BN.
PRK Cameron Highlands dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara MIC dari BN, MyPPP sebagai calon bebas dan DAP.
DAP bagaimanapun telah mengumumkan M. Manogaran sebagai calon parti itu yang akan berentap semula kali ini.
Pada 4 Jun lalu, Manogaran telah memfailkan petisyen memohon perisytiharan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu bagi kerusi Cameron Highlands yang disandang Datuk C. Sivarraajh dari MIC terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Berikutan itu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Sivarraajh dalam pilihan raya berkenaan terbatal setelah mendapati terdapat unsur rasuah di pihak beliau untuk membeli undi.
Pada 28 Disember lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Sivarraajh yang merupakan Naib Presiden MIC tidak layak bertanding dalam PRK akan datang.
Pada PRU 14, Sivarraajh memenangi kerusi parlimen itu dengan memperoleh sebanyak 10,307 undi menewaskan Manogaran dan tiga calon lain.
Hari pengundian PRK Parlimen Cameron Highlands ditetapkan pada 26 Januari ini dengan hari penamaan calon pada 12 Januari dan mengundi awal pula pada 22 Januari ini.
Sebelum itu, MIC diihat meneruskan tradisinya bertanding di kawasan peranginan itu termasuk berusaha mencalonkan semula Sivarraajh dan beberapa nama pemimpin MIC lain namun sehingga sekarang masih belum dimuktamadkan.
Malah ada desas-desus kemungkinan BN akan membuat perubahan dengan menukar calon MIC kepada calon UMNO untuk bertanding pada PRK berkenaan.
Pas pula telah menetapkan partinya tidak akan bertanding dan menyatakan sokongan kepada siapa sahaja calon BN dalam PRK yang sama.- MalaysiaGazette