KUALA LUMPURĀ – Pelantikan pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mempunyai kelayakan dan kemahiran profesional boleh dipertimbangkan.
Demikian kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sambil menegaskan meskipun mereka mempunyai kepakaran dalam bidang profesional, namun ia bukan satu keutamaan dalam pelantikan itu.
“Memang kita bersetuju supaya tidak ada ganjaran politik dalam mana-mana GLC tetapi bukan dalam konteks bahawa ahli politik yang tidak boleh pegang jawatan.
“Ada juga ahli politik yang profesional dalam kalangan akauntan, jurutera sivil dan arkitek yang boleh menyumbang kepada GLC berkenaan.
“Namun ianya tidak boleh dalam kalangan pihak eksekutif, tetapi keutamaan saya setuju kita berikan kepada golongan profesional,
“Tetapi kalau ada dalam kalangan pimpinan politik yang mempunyai merit berdasarkan kemahiran dan kelayakan, boleh dipertimbangkan, (tapi) bukan keutamaan,” katanya kepada pemberita merasmikan pejabat urusan Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM) di Faber Imperial Court, di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun yang mengumumkan pelantikan dua anggota Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Sukiman Sarmani dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, masing-masing menerajui Universiti Teknikal Mara (Unitek-Mara) dan Mara Corporation Sdn Bhd.
Haniff Khatri yang merupakan peguam yang pernah mewakili Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula dilantik sebagai Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).
Sementara itu, mengulas pelantikan Datuk Mohd Hairul Abdul Hamid sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) FGV Holdings Bhd (FGV) berkuatkuasa 2 Januari lalu, Mohamed Azmin berkata, pengurusan baharu itu perlu mengemukakan pelan pemulihan badan itu dengan segera.
“Kita telah meminta supaya pengurusan Felda baharu ini dapat mengemukakan satu pelan pemulihan secara keseluruhanya yang akan dibentangkan dalam masa terdekat.
“Ini termasuk peranan FGV di masa akan datang dan status FGV. Saya kata perkara ini akan dirumuskan dalam kajian dan pembentangan pelan pemulihan Felda.
“Bukan soal saya setuju atau tidak (calon CEO FGV) tetapi kita kena lihat secara keseluruhannya tentang agensi-agensi ini kerana ianya perlu kepada satu pelan pemulihan yang komprehensif,” katanya lagi. – MalaysiaGazette