Home Seni Hidup Impian Syed Saddiq bawa ibu ke konsert Maher Zain tercapai

Impian Syed Saddiq bawa ibu ke konsert Maher Zain tercapai

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersalaman bersama penyanyi, Maher Zain pada Sidang Media Maher Zain Tour Malaysia 2019 di NU Sentral, Brickfields, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Siapa sangka Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menyimpan impian selama tujuh tahun untuk membawa ibunya melihat sendiri persembahan artis nasyid antarabangsa, Maher Zain.

Syed Saddiq berkata, kini impiannya bakal tercapai dengan kedudukannya sebagai menteri dan beliau mampu membawa ibunya menghadiri ke konsert penyanyi terkenal itu sebagai hadiah hari lahir ibunya.

“Saya bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Tujuh tahun lalu bila Maher Zain datang membuat persembahan di Malaysia, saya tidak berpeluang untuk hadir ke konsert beliau.

“Saya tiada duit sebelum ini untuk hadir ke persembahan Maher. Satu impian terbesar saya untuk bawa ibu saya untuk menghargainya sebagai hadiah hari jadi ke persembahan Maher.

“Dengan kedudukan saya seperti hari ini, apabila mengetahui Maher Zain akan mengadakan persembahan bukan satu lokasi bahkan empat lokasi berbeza.

“Akhirnya, saya dapat tunaikan impian besar untuk bawa emak saya untuk menyaksikan persembahan Maher Zain secara langsung,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Konsert Maher Zain Malaysia Tour 2019 di NU Sentral hari ini.

MGF09012019_SIDANG MEDIA MAHER ZAIN07
Penyanyi, Maher Zain melakukan gimik perasmian sambil diiringi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Pengerusi Kumpulan Perbankan Islam CIMB Bank, Rafe Haneef (lima kiri) pada Sidang Media Maher Zain Tour Malaysia 2019 di NU Sentral, Brickfields, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 JANUARI 2019

Beliau mengulas kemunculan penyanyi dan penggubah lagu warga Sweden berketurunan Lubnan, Maher ke negara ini pada Mac ini untuk mengadakan konsert jelajahnya.

Konsert ‘Maher Zain Malaysia Tour 2019’ bakal bermula pada 9 Mac ini di Axiata Arena di Kuala Lumpur, sebelum diteruskan ke Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah, sepanjang bulan itu.

Syed Saddiq berkata, Maher bukan sahaja seorang penyanyi bahkan terkenal dengan kerja-kerja kemanusiaan yang berjaya menambah hati ramai melalui lagu-lagu ketuhanan.

“Dia (Maher) aktivis kemanusiaan, ramai umat Islam di luar sana memeluk Islam sebenar sebagai belas kasihan dan cinta yang menyatukan kita semua di antara bangsa dan agama.

“Saya harap rakyat Malaysia, orang Islam dan bukan Islam untuk datang bersama-sama mendengar dan melihat sendiri persembahan Maher Zain nanti.

“Saya harap mesej belas kasihan dan ambil peduli melalui Islam boleh dihantar merentasi Malaysia dan saya berharap seperti orang lain beli tiket untuk diri sendiri dan emak saya untuk melihat persembahan anda secara langsung,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Konsert Jelajah Malaysia Maher Zain pada Mac