PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meletakkan pegawai dan anggotanya di “kawasan-kawasan panas” untuk membanteras kegiatan membeli undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan hari ini berkata sekiranya aktiviti kempen sedemikian berlaku dan disabitkan dengan kesalahan, tindakan tegas boleh diambil selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Katanya beliau mengadakan perbincangan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman hari ini untuk menangani isu-isu yang berkaitan salah laku rasuah dan pelanggaran undang-undang berkaitan kempen pilihan raya.
“Ketiga-tiga agensi ini serius dan akan bekerjasama erat dalam memastikan tiada mana-mana pihak melakukan sebarang tindakan yang melanggar undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya,”katanya.
SPR menetapkan PRK Cameron Highlands pada 26 Januari ini dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 12 Januari, manakala tarikh mengundi awal pada 22 Januari.
PRK Cameron Highlands diadakan berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya bahawa kemenangan calon MIC Datuk C. Sivarrajh dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 adalah terbatal.
Azhar Azizan menasihatkan semua pihak yang terlibat dalam aktiviti berkempen pada PRK Cameron Highlands agar mematuhi semua undang-undang, peraturan dan etika berkempen sepanjang tempoh rasmi kempen pilihan raya selama 14 hari yang bermula pada hari penamaan calon pada 12 Januari sehingga 11.59 malam, 25 Januari.
“Kesemua parti adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara pejabat dan barung semasa hari mengundi,” katanya.
SPR juga menyeru calon atau parti politik yang bertanding tidak melaksanakan aktiviti kempen yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya seperti aktiviti jamuan, pemberian hadiah dan barangan, penggunaan kemudahan dan aset kerajaan, program kerajaan serta aktiviti kempen yang berunsurkan perkauman serta menyentuh sensitiviti agama.
Untuk memastikan proses pilihan raya berjalan dengan aman dan harmoni, katanya semua pihak termasuk pemimpin parti politik, calon yang bertanding dan penyokong diminta mematuhi semua undang-undang dan peraturan pilihan raya serta arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh SPR, PDRM, SPRM atau pihak berkuasa lain.
SPR menyarankan supaya laporan atau aduan dikemukakan kepada pihak SPRM sekiranya mana-mana pihak mendapati semasa tempoh rasmi kempen, wujud pelanggaran undang-undang dan peraturan khususnya berkaitan dengan amalan rasuah, katanya.
“Bagi kesalahan-kesalahan lain di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau di bawah Kanun Keseksaan hendaklah dilaporkan kepada PDRM. Lain-lain kesalahan sekiranya berlaku hendaklah dilaporkan kepada mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan bagi membolehkan tindakan selanjutnya dapat diambil,” katanya.
Menurut Azhar Azizan, PDRM, khususnya kontinjen Pahang, telah membuat persiapan rapi di semua peringkat PRK iaitu sewaktu penamaan calon, tempoh kempen, hari mengundi dan selepas mengundi.
“SPR yakin bahawa PDRM mampu menangani sebarang kemungkinan serta menentukan keselamatan berada di tahap maksimum untuk membolehkan calon dan pengundi-pengundi melaksanakan tanggungjawab demokrasi mereka,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak bahawa pada hari mengundi nanti semua bentuk kempen atau aktiviti merayu undi adalah dilarang termasuk melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.
“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya di PRK tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak mengugat ketenteraman awam,” katanya. -BERNAMA