KUALA LUMPUR – Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengekalkan pertumbuhan permintaan penumpang sebanyak enam peratus tahun ini, di tengah-tengah ketidaktentuan daripada perang perdagangan, tarif perlindungan dan Brexit.
Menurut persatuan itu, trafik penumpang global untuk November 2018 adalah baik dan sederhana, yang mana perolehan penumpang perkilometer (RPK) meningkat 6.2 peratus berbanding tempoh sama pada 2017, rendah sedikit daripada 6.3 peratus pertumbuhan pada Oktober.
Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac berkata, trafik adalah kukuh tetapi terdapat tanda jelas bahawa pertumbuhan adalah sederhana selari dengan ekonomi global yang perlahan.
Menurut persatuan itu, permintaan penumpang antarabangsa pada November 2018 meningkat 6.6 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, meningkat daripada 6.2 peratus pada Oktober dengan pertumbuhan ditunjukkan di semua rantau diterajui oleh syarikat penerbangan di Eropah.
“Jumlah kapasiti meningkat 6.7 peratus sementara faktor muatan susut 0.1 mata peratusan kepada 78.4 peratus,” kata persatuan itu.
Pasaran penumpang domestik menyaksikan permintaan pelancongan meningkat 5.6 peratus pada November 2018 berbanding tempoh sama pada 2017, pertumbuhan paling perlahan dalam 11 bulan dan susut daripada 6.5 peratus pada Oktober.
Semua pasaran kecuali untuk Australia menunjukkan pertumbuhan dengan ASK meningkat 6.9 peratus tetapi faktor muatan susut 1.0 mata peratusan kepada 82.8 peratus. – MalaysiaGazette