KUALA LUMPUR – Bekas Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, ACP Ramli Mat Noor diumumkan sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini.
Timbalan Pengerusi BN yang menjalankan tugas-tugas Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hassan ketika mengumumkan nama calon itu memberitahu, walaupun Ramli bukan ahli mana-mana parti, tetapi beliau dipilih sebagai wakil BN sebagai menang-menang antara semua parti komponen.
“Kita berunding secara teliti dengan UMNO, MIC, MCA untuk menang PRK ini. Akhirnya kita capai persetujuan untuk memilih calon yang bukan mewakili parti.
“Kali ini kita menggunakan pendekatan berlainan iaitu calon boleh mendokong parti, bukan lagi pendekatan lama seperti parti mendukung calon.
“Matlamat dan tujuan kita dalam PRK Cameron Highlands ini ialah menang. Sebab itu, kita pilih calon yang diterima oleh rakyat, bukan yang parti suka,” katanya pada majlis pengumuman calon BN bagi PRK Parlimen Cameron Highlands di sini, hari ini.
Timbalan Pengerusi BN yang menjalankan tugas-tugas Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hassan diiringi calon Barisan Nasional, Ramli Mat Noor (kanan) bercakap pada sidang media Pengumuman calon BN bagi PRK Parlimen P.078 Cameron Highlands di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 JANUARI 2019Hadir sama, Presiden MIC, Senator Tan Sri S.A. Vigneswaran; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; dan Setiausaha BN, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz.
Menurut Mohamad, beliau telah berunding dengan parti komponen dalam memilih calon boleh menang dan MIC bersetuju meminjamkan kerusi parti itu untuk meletakkan Ramli sebagai calon PRK.
Ditanya kenapa BN memilih calon bukan dari parti, beliau memberitahu, perkara itu biasa berlaku di Sarawak, yang mana kebanyakan calon bukan mewakili mana-mana parti.
“Kita buat macam Sarawak, walaupun mereka bukan wakili parti, mereka diterima rakyat. Dalam kes ini, Ramli adalah ahli BN, bukan parti,” katanya.
Berhubung pengharapannya dengan meletakkan calon itu, beliau berkata, BN yakin 85 peratus pengundi di Parlimen Cameron Highlands akan menyokong Ramli. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: