KUALA LUMPUR – Laporan Nomura yang menyatakan defisit fiskal 2018 akan meningkat kepada 3.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah tidak tepat dan angkanya jauh daripada kadar sebenar.
Malah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan yakin akan mencapai sasaran defisit sebanyak 3.7 peratus dan 3.4 peratus KDNK untuk tahun 2018 dan 2019.
“Saya telah menyemak angka awal akaun kewangan bagi 2018 yang sudah ditutup dan saya mendapati bahawa kedudukan defisit fiskal kerajaan berada dalam lingkungan 3.7 peratus daripada KDNK,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, beberapa pembaharuan institusi telah dilakukan dan ini bercanggah dengan pendapat Nomura.
Antara pembaharuan itu ialah pelaksanaan zero-based budgeting pada tahun ini, pelaksnaan tender terbuka di semua kementerian sejak tahun lepas, migrasi daripada perakaunan asas tunai kepada asas akruan, mengutamakan semula projek infrastruktur seperti MRT2, MRT3, LRT3 dan pembentukan Jawatankuasa Reformasi Cukai dan Jawatankuasa Kewangan Awam untuk mempelbagaikan pendapatan kerajaan.
Guan Eng berkata, proses pembaharuan institusi ini akan memakan masa 3 tahun dan langkah-langkah baharu akan diumumkan pada 2020, seiring dengan langkah-langkah yang diperkenalkan semasa Belanjawan 2019.
Mengulas mengenai kebimbangan Nomura terhadap defisit fiskal akan meningkat akibat kejatuhan harga minyak dunia yang berada pada paras AS$60.90 setong, beliau memberitahu, hanya 19.5% daripada pendapatan kerajaan daripada sumber petroleum pada tahun, tanpa mengambil kira dividen khas RM30 bilion daripada Petronas.
“Ini jauh lebih rendah daripada 41.3 peratus pada tahun 2009.
“Ini bermakna walaupun sumber petroleum masih penting sebagai pendapatan kerajaan, kepentingannya semakin berkurangan,” ujarnya.
Sementara itu, Guan Eng berkata, langkah-langkah baharu seperti cukai minuman bergula dan penjualan aset yang tidak penting dan tidak strategik yang masih tidak dimasukkan dalam pengiraan defisit seperti diumumkan semasa Belanjawan 2019 akan menyediakan ruang yang selesa kepada kerajaan untuk mengekalkan sasaran defisitnya apabila harga minyak mentah Brent berlegar dalam julat AS$50 hingga ASS70 setong. – MalaysiaGazette