Home Sukan Piala AFC: JDT belasah kelab Filipina

Piala AFC: JDT belasah kelab Filipina

JOHOR BAHRU – Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan mereka bukan tandingan Global FC apabila membelasah kelab dari Filipina itu 4-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam tadi.

Kemenangan itu meletakkan skuad kendalian Benjamin Mora berada pada kedudukan teratas dalam aksi kumpulan F Piala ACF 2017 dengan tujuh mata.

Gol pertama JDT muncul pada minit ke-30 apabila Mahali Jasuli bijak melepaskan tendangan padu menewaskan penjaga gol pasukan pelawat.

Tuah terus menyebelahi Harimau Selatan untuk kedudukan lebih selesa melalui gol sepakan penalti dihadiahkan pengadil perlawanan, empat minit kemudian.

Safiq memanfaatkan peluang itu sekali gus meletakkan kedudukan 2-0 pada separuh masa pertama.

Tempoh 10 minit akhir perlawanan, Brian Ferreira tampil mencatatkan namanya sebagai penjaring gol ketiga JDT dan juara musim 2015 itu terus menambah derita lawan dengan gol keempat pada minit-minit kecederaan menerusi tandukan Marcos Antonio.

Selepas ini JDT bakal berdepan pasukan sama sebagai pelawat di Manila pada aksi timbal balik dijadualkan pada 5 April depan. – MalaysiaGazette