KUALA LUMPUR – Kerajaan bukan sahaja mengembalikan penetapan harga minyak secara mingguan menerusi kaedah apungan, seperti dilakukan kerajaan terdahulu tatapi turut membandingkan harga komoditi itu dengan negara ASEAN lain.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, ramai yang mengecam kerajaan Barisan Nasional apabila membuat perbandingan harga minyak dengan negara lain kerana berpendapat ia tidak relevan.
“Sekarang dah kena paksa paparkan (perbandingan harga petrol dengan negara ASEAN lain) di semua stesen minyak,” katanya dalam akaun Twitter dengan memaparkan salinan surat arahan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan perbandingan harga minyak.
Surat bertarikh 11 Januari 2019 yang ditandatangani Datuk Muez Abd, Aziz itu menyatakan jemaah menteri yang bermesyuarat pada 2 Januari lalu mengarahkan supaya semua stesen minyak memaparkan perbandingan harga runcit produk petroleum di Malaysia dengan negara-negara ASEAN.
Menurut surat tersebut, semua stesen minyak di bawah seliaan Petronas Dagangan Berhad hendaklah memaparkan perbandingan tersebut secara jelas dan ketara.
Khairy berkata, dalam senarai perbandingan dengan negara ASEAN itu, Brunei dikecualikan kerana mahu menunjukkan harga minyak di Malaysia masih rendah.
“Harap dapat dipaparkan harga petrol di Brunei juga. Baru lengkap ASEAN,” katanya. – MalaysiaGazette