KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng didakwa terlalu defensif terhadap kritikan pihak-pihak yang mempersoalkan prestasi ekonomi negara.
Menteri Kewangan itu dilihat suka menafi, mempersoal dan mempertahankan kritikan laporan-laporan pakar ekonomi berbanding mengemukakan cadangan spesifik sebagai jalan penyelesaian.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Timbalan Pengerusi Pemuda MCA, Tan Chee Hiong selepas Guan Eng mendakwa menafikan laporanĀ yang dikeluarkan oleh agensi penarafan.
Sebelum itu, Guan Eng turut menyangkal laporan buruk ekonomi negara oleh Nikkei dan Nomura sambil mendakwa ianya tidak tepat dan tersasar.
Chee Hiong berkata, Malaysia perlu akses kepada situasi hutang berdasarkan penarafan kredit antarabangsa berbanding membiarkan Guan Eng menterjermahkan ekonomi negara sesuka hatinya.
Misalnya, kata beliau, Moody’s adalah agensi penarafan kredit yang dikenali di dunia.
Laporannya disusuli dengan kombinasi ulasan positif dan negatif, yang mana ia adalah penilaian yang kondusif dan adil.
“Tetapi Lim Guan Eng berulang kali akan mengenepikan kebimbangan pakar mengenai ekonomi Malaysia.
“Malah, beliau mendakwa (penilaian) ini satu tindakan yang jahat untuk menjatuhkan kerajaan dan menafikan laporan agensi penarafan antarabangsa, dengan menuduh mereka tidak memahami keadaan hutang kerajaan Malaysia.
“Siapa yang pakar sebenar di sini?,” soal Chee Hiong.
Menurut beliau, tindak-tanduk Guan Eng yang hanya mahu dipuji dan tidak boleh dikritik ini menyebabkan rakyat bimbang tentang kedudukan ekonomi negara.
Sedangkan, pada masa sekarang, semua harga barangan baik dan rakyat semakin tertekan apabila ‘dompet’ semakin mengecil.
Terutama menjelang Tahun Baru China, yang mana perbelanjaan dijangka meningkat dan rakyat pula tidak mencukupi wang untuk berbelanja. – MalaysiaGazette