IPOH – Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah agar peranan dan kegiatan yang sebelum ini dijalankan di dalam masjid perlu dipindahkan ke pelbagai premis baharu di luar masjid bagi mengimarahkan rumah ibadat itu.
Bagaimanapun Sultan Perak bertitah, usaha sedemikian tidak bermakna peranan masjid tersisih atau menjadi kurang penting.
Sultan Nazrin yang kini memangku tugas Yang di-Pertuan Agong bertitah, peredaran waktu dan perkembangan tamadun telah mengubah cara hidup insan yang bertambah kompleks di samping perlu pula menangani bilangan ummah yang semakin bertambah.
“Pada awal era perkembangan Islam, masjid memenuhi pelbagai peranan, berfungsi sebagai pusat pemerintahan, pentadbiran, kehakiman, pusat perkembangan sahsiah, ilmu, budaya dan tamadun serta dipenuhi pelbagai kegiatan kebajikan, kemasyarakatan dan perhubungan ummah.
“Bermakna, lebih banyak ruang masa masjid dipenuhi dengan kegiatan yang pelbagai, mengatasi waktu yang digunakan untuk bersolat,” titah baginda pada Sambutan Jubli Emas Masjid Sultan Idris Shah ll yang juga dikenali sebagai Masjid negeri di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, mengimarahkan masjid merupakan tanggungjawab mereka yang telah bersedia menerima amanah, dilantik sebagai ahli jawatankuasa masjid serta yang dilantik sebagai pegawai masjid.
“Masjid yang sudah dibina secara fizikal wajib dibangunkan dengan perisian kandungan yang bermakna, dihidupkan oleh orang-orang yang ikhlas, bersungguh dan komited mahu mengembangkan syiar Islam,” titah Sultan Nazrin.
Titah baginda, orang yang diberikan amanah mengurus dan mengimarahkan masjid tidak berlaku adil kepada qariah jika gagal memenuhi tanggungjawab secara ikhlas, bersungguh serta komited.
Mengenai Masjid Sultan Idris Shah II, baginda bertitah, ia diiktiraf sebagai Masjid Negeri Perak dan dirasmikan pada 15 Nov 1968 oleh Sultan Perak ke-33, Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakil-Allallahi Shah II.
“Masjid ini telah mencapai usia 50 tahun. Dalam tempoh masa tersebut masjid ini telah melalui pelbagai fasa penambahbaikan dan pembesaran secara fizikal, begitu juga telah dibangunkan dengan pelbagai kegiatan,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memenuhi pelbagai peranan dan memberikan sumbangan mengimarahkan masjid itu sejak 50 tahun yang lalu.
“Semoga masjid ini akan mencipta pencapaian yang lebih cemerlang 50 tahun dari sekarang dan mencatatkan sejarah kejayaan yang lebih gemilang ketika menyambut ulang tahun usia ke-100 pada tahun 2068 nanti,” titah baginda. – Bernama