Team Hollywood dari Australia dinobatkan sebagai juara keseluruhan kelas Racing pada Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) ke-17 yang berakhir hari ini.
Ketua pasukannya, Ray Robert berkata permulaan yang baik sejak Selasa lalu dan semangat pasukan yang pada tahap cemerlang membuatkan mereka merangkul kejuaraan itu buat kali pertama bagi Team Hollywood.
“Minggu ini adalah yang terbaik dalam perlumbaan yang kami sertai, angin amat konsisten sehinggakan ada kapal yang patah layarnya, namun pasukan kami dapat mengharungi segala kesulitan dan dapat perlumbaan yang baik semasa di perlumbaan akhir.
“Kami ada pesaing yang kuat, antaranya daripada pasukan Thailand, THA52 dan dua pasukan Angkatan Tentera Laut. Setiap kali kami dihadapan, mereka tetap beri persaingan yang kuat,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Untuk rekod, ini adalah kemenangan ketujuh buat Ray Robert sejak 2006 dengan pasukan Evolution Racing, Quantum Racing, dan Ulumulu Quantum Racing.