CAMERON HIGHLANDS – Calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Nor memberi jaminan bahawa beliau tidak perlu untuk menandatangani ikrar untuk menjalankan kempen pilihan raya bersih dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.
Bekas Asisten Komisioner Polis itu sebaliknya berkata, calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran sendiri perlu menandatanganinya kerana beliau tidak yakin dengan ketelusan itu.
“Saya tak fikir (PH) bersih, (tapi) saya boleh jaminan saya bersih,” katanya ketika ditemui di Kampung Mensun, Pos Mensun, Cameron Highlands, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; bekas Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Manis, Datuk Khairudin Mahmud.
Beliau mengulas kenyataan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) hari ini yang menggesa semua calon yang bertanding di kerusi P078 supaya menandatangani ikrar pilihan raya secara bersih.
Ramli juga berkata, tiada keperluan baginya untuk memenuhi undangan NGO pro-PH yang mahu menganjurkan debat secara terbuka.
“Apa yang mahu didebatkan? Mereka ugut untuk tak bayar gaji orang saya,” katanya sambil menyindir Speaker Parti Keadilan Rakyat (PKR), Bob Manolan Mohd yang didakwa mengungut tok batin.
Ahli Dewan Negara itu baru-baru ini mencadangkan agar gaji tok batin yang tidak menyokong PH tidak dibayar. – MalaysiaGazette