KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan penempatan Angkatan Tentera Malaysia di Arab Saudi adalah bagi menjalankan tugas-tugas pemindahan rakyat Malaysia yang berada di kawasan konflik Yaman ke kawasan selamat.
Hishammuddin menafikan dakwaan tentera Malaysia di sana terlibat dalam misi ketenteraan dan menegaskan Kuala Lumpur mengambil pendirian berkecuali dalam isu berkaitan Arab Saudi dan Yaman.
“Kerajaan Malaysia tetap dengan pendirian berkecuali tidak sesekali campur tangan mengenai isu berkaitan antara Arab Saudi dan Yaman.
“Kehadiran troop ATM di pengkalan hadapan Arab Saudi adalah untuk melaksanakan misi tunggal kemanusiaan bagi memudahkan evakuasi rakyat Malaysia yang berada di Yaman, ia sebagai manifestasi komitmen kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang sedang berada di bumi Yaman,” kata Hishamuddin menjawab soalan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Hishammuddin, setakat ini, seramai 673 rakyat Malaysia sudah berjaya dibawa pulang sementara dianggarkan 500 orang masih berada di Yaman.
Penglibatan tentera Malaysia di Arab Saudi bermula sejak April 2015 lalu dan Hishammuddin berkata setakat ini keadaan di Yaman masih bergolak dan tidak selamat.
Sebelum ini pemerhati PBB pernah melaporkan, tentera pelbagai negara – termasuk Mesir, Kuwait dan Jordan – yang diketuai Arab Saudi mungkin melakukan jenayah perang dalam konflik berkenaan.
Bagaimanapun laporan itu tidak menyatakan sama ada Malaysia terbabit secara langsung namun menyebut pegawai negara ini berada di pusat kawalan ketenteraan di Riyadh.
Menurut Hishammuddin, ATM yang dihantar bertugas di Arab Saudi tidak mempunyai kemampuan melakukan serangan ketenteraan.-MalaysiaGazette