CAMERON HIGHLANDS – MIC bertindak membuat laporan polis terhadap calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran berhubung pemberian wang kepada warga Orang Asli dalam satu majlis tertutup yang tular dalam media sosial.
Sejak semalam tadi beberapa keping gambar yang menunjukan seorang wanita ‘misteri’ memegang serta memberikan wang nota RM50 dan RM5 kepada sekumpulan warga Orang Asli Cameron Highlands dipercayai.
Majlis itu juga telah dihadiri oleh Manogaran, Pengerusi DAP Selangor merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh dan beberapa lagi pimpinan lain.
Menurut Ketua Pemuda MIC, R. Thinalan, beliau telah mengarahkan kesemua ahlinya membuat laporan polis seluruh negara bagi mendesak pihak polis menyiasat secara teliti ‘pemberian’ wang tersebut.
Kata Thinalan, pihaknya juga mahu Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga menyiasat dakwaan yang dianggap serius dan tidak boleh di tolak ansur lagi.
“Jangan lupa, kita terpaksa mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak sampai tempoh tujuh bulan hanya kerana terdapat satu petisyen yang juga dibuat oleh Manogaran sendiri bahawa wujudnya unsur rasuah.
“Walaupun sehinga kini, tidak ada bukti yang boleh menyabitkan dakwaan tersebut, penyandang, Datuk Sivarrajh Chandran terpaksa berdepan dengan ‘hukuman’ sesuatu yang tidak dilakukan olehnya.
“Tuduhan itu sama seperti apa yang berlaku hari ini. Dalam sebuah majlis yang dihadiri oleh calon, sejumlah wang kelihatan diberikan kepada Orang Asli yang menghadiri majlis tersebut. Dalam hal Sivarraajh, sehingga kini tiada sebarang bukti. Dalam ini, kita ada bukti gambar.
“Kami mohon pihak berwajib dapat menyiasat dengan penuh teliti, sebelum ini kami pernah buat laporan terhadap calon sama pada PRU lepas memberikan mesin pemotong rumput, tidak ada apa-apa tindakan. Kini berlaku lagi, terang lagi bersuluh.
“Mohon ambil serius terhadap dakwaan ini dan kami berharap seandainya ada kebenaran dalam perkara ini, sepatutnya penyertaan beliau dalam PRK kali dibatalkan serta merta,” katanya hari ini.
Sekumpulan ahli MIC dan juga warga Cameron Highlands bertindak membuat laporan polis di Tanah Rata berhubung penyebaran gambar seorang wanita yang berpakaian PH memberikan wang kepada Orang Asli itu.
Kata Thinalan lagi, seandainya benar PH berlandasan ketelusan dan menolak rasuah seperti yang di war warkan selama ini, maka insiden pemberian wang ketika musim PRK sepatutnya dipandang dengan berat sekali.
“Jangan main cakap sahaja, buat apa yang anda cakap selama ini. Pada kami, ini sangat tidak adil. Mengapa Sivarraajh yang langsung tidak terbukti terpaksa berdepan dengan situasi kononnya elemen rasuah sehingga menyebabkan dirinya hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen tetapi hak sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi juga telah di rampas.
“Jika mahu berikan alasan dan hanya memandang remeh, maka retoriklah apa sahaja yang menjadi laungan anda dalam PH, dalam Malaysia Baharu ini. Jangan pilih ‘bulu’. Jangan kuasa di tangan kini lupa daratan pula.
“DAP paling lantang sekali bersuara, saya mohon telus sedikt dalam isu ini, jangan terus mahu membela dan buat endah tidak endah sahaja, jika salah katakan ya dan beri keadilan kepada yang lain.
“Ingat, rakyat sedang melihat dan menilai. Jangan terlalu taksub mahu menabur pelbagai fitnah sehingga akhirnya itu memakan diri, mohon pihak berkuasa ambil tindakan dengan segera,” ujarnya. -MalaysiaGazette