Home Nasional Premis guna ayat al-Quran, Jakim perlu atasi kekeliruan pengguna Muslim

Premis guna ayat al-Quran, Jakim perlu atasi kekeliruan pengguna Muslim

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas memandang serius tindakan sesetengah peniaga menggunakan ayat al-Quran, nama dan imej Islam di premis perniagaan walaupun mereka bukan beragama Islam.

Ketua Penerangannya Nasrudin Hassan berkata, tindakan itu dipercayai untuk menarik minat dan kepercayaan pengguna muslim membeli barang serta perkhidmatan ditawarkan.

Kebelakangan ini, katanya, kes restoran banyak menggunakan kaedah itu dan tindakan tersebut seolah-olah memperlekehkan Islam.

β€œIa juga dijadikan faktor pelaris perniagaan semata-mata. Walhal, makanan yang dihidangkan seperti ayam, lembu dan kambing dibimbangi tidak mematuhi kaedah penyembelihan ditetapkan Islam. Ia akan mengelirukan pengguna muslim,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Sehubungan itu, kata Nasrudin, Pas menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengatasi segera masalah itu supaya pengguna Muslim tidak terjebak dengan permainan kotor segelintir peniaga yang memperlekehkan Islam.

Ujarnya, maklumat lengkap yang menyenaraikan premis berkenaan perlu dipaparkan kepada umum sebagai panduan kepada pengguna.

Selain itu, kata beliau, tindakan tegas seperti penarikan lesen perniagaan dan hukuman berat perlu dikenakan terhadap mereka yang menyalahgunakan pendekatan itu. – MalaysiaGazette