KUALA LUMPUR – Ketika Barisan Nasional (BN) berkuasa sebelum ini, pemimpin komponen parti itu tidak pernah mengugut masyarakat Orang Asli terutama Tok Batinnya untuk tidak dibayar gaji jika tidak menyokong kerajaan.
Malah, mereka akan menerima gaji dan elaun tepat pada tarikh setiap bulan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini berbeza dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang cuba bermain dengan sentimen dan mengugut masyarakat Orang Asli jika tidak menyokong mereka.
“Di bawah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa) sebelum ini pun kita tahu ada Tok Batin yang tidak menyokong kerajaan BN, tetapi elaun dan gaji mereka tidak sekali pun tertangguh, apatah lagi mahu mengugut untuk memecat mereka.
“Tok Batin adalah satu bentuk jawatan yang bukan dilantik oleh agensi atau kerajaan. Ia merupakan satu pangkat dari keturunan dan melalui proses tersendiri dalam komuniti Orang Asli.
“Kita hanya membayar gaji mereka untuk memastikan komuniti Orang Asli ini terus berada di bawah pemantau kita di peringkat kementerian dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan dua pemimpin PH dengan seorang daripadanya adalah calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, M Manogaran mengeluarkan kenyataan bersifat menghina dengan mengatakan, orang Melayu tidak makan kuih Orang Asli.
Kemudian Senator dari PH pula, Bob Manolan dalam ucapannya mengugut Tok Batin dengan meminta kerajaan tidak membayar gaji dan elaun Tok Batin jika mereka tidak menyokong calon DAP pada PRK 26 Januari ini.
Menurut Ismail Sabri, ucapan itu berbentuk penghinaan kepada satu sistem yang telah lama diamalkan dan ada dalam adat komuniti Orang Asli itu sendiri.
“Bob Manolan adalah wakil Orang Asli yang lupa kepada tanggungjawab beliau sebagai wakil Orang Asli yang diangkat oleh PH.
Jelas, Bob Manolan seorang Senator yang telah gagal membawa suara masyarakat Orang Asli di Dewan Negara.
“Dia adalah seorang Senator yang menderhaka kepada seluruh bangsa ibunda beliau sendiri apabila menghina Tok Batin,” katanya. – MalaysiaGazette