TANAH RATA – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) menyerahkan isu jentera calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang didakwa mengamalkan politik wang kepada pihak berkuasa untuk diadili sewajarnya.
Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, apabila isu berkenaan keluar, beliau pada awalnya hanya bersangka baik dan percaya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bebas untuk mengambil tindakan.
“Saya serahkan hal ini kepada SPR dan dan SPRM yang kita ketahui sangat bebas malah telah diletakkan sebagai badan bebas di bawah Parlimen.
“Malah orang yang dilantik adalah sangat lantang bersuara dan pengerusi SPR sama juga yang merayu bagi pihak UMNO di DUN Rantau.
“Apabila saya melihat isu itu keluar, cukup bersangka baik (husnu zhan) dan laporkan saja isu kepada SPRM dan biar mereka menghakiminya, itu akan lebih adil kepada kedua-dua belah pihak,” katanya pada sidang media selepas Town Hall Komuniti Belia Tanah Tinggi Bersama Menteri Belia dan Sukan di Kelab Golf Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Beliau mengulas penularan beberapa gambar seorang wanita berbaju PH dipercayai petugas kempen PRK Cameron Highlands yang dilihat mengagihkan wang tunai kepada beberapa individu.
Gambar tersebut kelihatan beberapa individu memakai baju PH dipercayai komuniti orang asli di sebuah hotel, di Tanah Rata, awal pagi Sabtu.
Sementara itu, Syed Saddiq juga memuji sikap tidak berpihak oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) menganjurkan pelbagai program bersama anak muda tanpa mengira fahaman politik.
“Majlis Belia Malaysia amalkan politik matang kerana anjurkan program dengan semua pihak tanpa kira fahaman politik.
“Usaha ini perlu dipuji demi masa depan generasi pelapis negara,” katanya. – MalaysiaGazette