KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan Pakatan Harapan telah menggagihkan wang kepada pengundi-pengundi di Cameron Highlands seperti mana tular di media-media sosial baru-baru ini.
Jelasnya, duit tersebut adalah duit kerajaan dan diberikan kepada semua rakyat.
“Pakatan Harapan tidak pernah memberi duit kepada sesiapa.
“Duit itu kerajaan yang punya, dia bagilah. Semua orang dapat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan produk silinder gas petroleum cecair (LPG) keluaran Astana City Group di sini hari ini.
Tular di media sosial yang menunjukkan Orang Asli dibayar wang dalam sebuah majlis tertutup turut dihadiri oleh calon PH M. Manogaran dan pimpinan utama DAP lain seperti Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh.
Terdahulu di dalam ucapannya, Dr. Mahathir berkata, kerajaan akan terus membantu usahawan-usahawan di dalam sektor-sektor yang memerlukan.
Bagaimanapun, usahawan-usahawan tersebut perlu berusaha gigih supaya tidak bergantung terlalu lama kepada kerajaan kerana peruntukkan yang diberikan perlu diagihkan kepada usahawan lain pula.
“Kerajaan akan terus membantu namun kerajaan juga mempunyai kekangan kewangan.
“Maka mereka (yang telah dibantu) perlu berusaha supaya tidak terus bergantung kepada kerajaan sahaja kerana kami perlu membantu sektor-sektor lain juga,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus sektor-sektor yang perlu mendapat perhatian khusus di dalam menerima bantuan kerajaan.-MalaysiaGazette