TANAH RATA – Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas mendakwa beliau sebenarnya lega selepas meninggalkan Barisan Nasional (BN) yang selama ini didakwanya gagal dalam menghargai jasa parti itu selama puluhan tahun.
Kata Kayveas, kesabaran beliau akhirnya sampai ke penghujung apabila segelintir pemimpin utama BN bertindak memecahbelahkan parti itu sehingga berlaku krisis dalaman parti begitu teruk.
Malah kata Kayveas, dirinya cukup marah apabila segelintir pemimpin berkomplot dengan beberapa pimpinan dalam parti yang tamak sehingga membawa kehancuran kepada MyPP.
“Kini saya terpaksa ‘membersihkan’ kekotoran yang tertinggal ini apatah lagi kini parti sudah berdepan dengan pembatalan pendaftaran oleh Pendaftaran Pertubuhan (RoS). Tidak apa, saya akan all out untuk selamatkan MyPPP.
“Sebenarnya saya sudah bosan, ini bukan soal secara tiba-tiba saya membuat pusingan u dengan menyokong kepimpinan Pakatan Harapan (PH) sebaliknya memang secara prinsipnya kita sokong kerajaan parti pemerintah. Itu sahaja.
“Tapi hakikatnya, saya sangat kecewa dengan layanan yang diberikan oleh BN terhadap kami selama ini, untuk sekian lama kami tidak lebih daripada ‘hiasan pentas’.
“Setiap kali ada apa-apa majlis besar, saya sebagai presiden akan naik pentas bersama pimpinan BN lain untuk ‘mencantikkan’ BN.
“Itu sahaja, BN masih dalam kepompong lama malah sifat rasis itu sentiasa wujud, tidak benar sebenarnya mereka adalah parti untuk semua sebaliknya masih kuat dengan ‘perkauman’ serta di dominasi kaum tertentu.
“Dan percayalah, keangkuhan mereka juga punca kekalahan besar, ini bukan sesuatu yang saya baru cakap sebaliknya sejak dulu lagi. Saya kecewa, sehingga saat akhir saya masih memberikan mereka untuk meletakkan saya sebagai calon Cameron Highlands.
“Jika benar mereka mahu calon ‘winnable’ dan dekat dengan masyarakat selain daripada telah bekerja untuk jangka masa lama, mengapa permintaan dan cadangan kita masih diabaikan? Saya telah berada dan bekerja di sini bukan semalam atau kelmarin sebaliknya sejak tahun 1999.
“Mereka kata kerusi tradisi tapi Pusat Khidmat masyarakat hanya ditubuhkan pusat khidmat setiap lima tahun sekali sebaliknya pusat khidmat sudah lama malah kami tidak akan tutup walaupun bukan ada kuasa kini kerana khidmat kami untuk rakyat.
“Hakikatnya, mereka bukan sahaja tidak peduli malah telah memberi satu signal yang amat jelas bahawa mereka tidak perlukan MyPPP lagi. Kerana itu saya mengambil keputusan untuk tidak lagi berharap dengan BN lagi.
“Ini bukan soal kerusi, bukan saya teruja untuk bertanding sebaliknya rasa teruja untuk menangkan BN. Selama ini walaupun tidak mendapat layanan yang sepatutnya. Kesetiaan kami tidak dipedulikan. Kita masih terus bertahan dengan BN atas dasar setiakawan tetapi adakah mereka setia dengan kami?
“Akhirnya mereka melaga-lagakan antara kami sehingga berpecah dua dan dibatalkan pendaftaran. Ini yang kami dapat kerana setia dan sentiasa menyokong tanpa berbelah bahagi selama berpuluh tahun ini,” katanya kepada Malaysia Gazette ketika ditemui hari ini.
Pada Sabtu lepas, Kavyeas membuat kejutan apabila menarik diri daripada bertanding dalam PRK Parlimen Cameron Highlands pada saat-saat akhir.
Malaysia Gazette juga difahamkan tindakan itu juga saling berkait dengan tindakan RoS membatalkan parti selain daripada larangan Kayveas menggunakan logo parti yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada pengundi.
Jelas Kayveas, seandainya terus tinggal di dalam BN berkemungkinan besar mereka bukan sahaja akan dibuli malah BN akan terus mengkhianati kesetiaan mereka.
“Anda tahu mengapa parti yang sudah berusia lebih 65 tahun ini mahu dibatalkan pendaftarannya? Kerana apabila saya melahirkan hasrat adalah lebih baik keluar sahaja dari BN sebelum PRU-14 lagi, ianya tidak disenangi sebenarnya.
“Sebenarnya saya dipanggil dan dipujuk dengan pelbagai ‘ajakan serta manfaat’, tapi apakah gunanya jika perangai dan sikap mereka dalam BN tidak berubah?
“Kerana itu juga mereka pergunakan segelintir dalam parti untuk pecah belahkan keharmonian kami, itu sahaja. Saya juga tidak berniat untuk melompat dan menyokong PH kerana itu sebaliknya kerana mana-mana parti pemerintah.
“Akhirnya, yang berkuasa itu yang akan membawa manfaat kepada rakyat dan hakikatnya itu yang kita hendak buka begitu, itu yang saya buat tapi di tuduh macam-macam sampai kononnya saya telah di beli, sudahlah,” tegasnya. – MalaysiaGazette