Home Utama Sultan Abdullah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang

Sultan Abdullah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang

Sultan Pahang, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ditemani isterinya Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan untuk hadir pada Istiadat Pemasyuran Sultan Pahang Keenam, turut mengiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (dua kiri) dan Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Shah Sultan Ahmad Shah (dua kanan) di Istana Abu Bakar, Pekan Pahang. foto FAREEZ FADZIL, 15 JANUARI 2019

PEKAN – Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selamat dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang yang keenam di Istana Abu Bakar di sini sebentar tadi.

Upacara pemasyhuran Sultan Abdullah dibacakan adindanya, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang juga Pengerusi Istiadat Majlis Pangkuan Diraja Pahang.

Majlis bermula pukul 11 pagi dengan dimulakan bacaan doa dan istiadat-istiadat Diraja bersempena dengan permasyhuran Sultan Abdullah.

Seramai 1,500 tetamu menghadiri istiadat berkenaan yang mana 800 orang daripadanya berada di dalam Balairung Seri.

Hadir sama pada upacara istiadat tersebut kerabat-kerabat diraja, pembesar-pembesar negeri, ketua-ketua kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Sultan Abdullah dan Permaisuri, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah masuk ke Balairung Seri dengan berpakaian serba kuning.

Ketika menyampaikan titah pada istiadat pemasyhuran itu, Sultan Abdullah sebak apabila menyampaikan perkembangan ayahandanya Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar yang kini sedang gering.

Baginda menyeru kepada seluruh rakyat supaya mendoakan kesihatan dan kesejahteraan ayahandanya agar kembali pulih seperti sediakala.

Pemasyhuran Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang hari ini mencatat sejarah tersendiri kerana bukan sahaja mengangkat seorang raja pemerintah negeri yang baharu, malah diadakan selepas 45 tahun.

Ayahanda Sultan Abdullah, Sultan Ahmad Shah dimasyhurkan secara rasmi sebagai Sultan Pahang kelima pada Mei 1974 berikutan kemangkatan nenda baginda, Almarhum Sultan Abu Bakar.

Sultan Abdullah yang merupakan anakanda keempat Sultan Ahmad Shah dan Almarhumah Tengku Afzan Tengku Muhammad, dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang pada 1 Julai 1975 dan dimasyhurkan pada 23 Oktober 1977 di Istana Abu Bakar di sini.

Ketika Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ketujuh pada 26 April 1979 hingga 25 April 1984, baginda dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang dan sekali lagi dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang pada 28 Disember 2016.

Tempoh selama 44 tahun sebagai Tengku Mahkota Pahang sejak 1975 menyaksikan baginda memegang rekod dunia kedua paling lama menjadi Putera Mahkota selepas Putera Wales, Putera Charles. – – MalaysiaGazette