TANAH RATA – Rakyat diingatkan mengutamakan calon anak tempatan yang lebih arif tentang permasalahan di kawasan tanah tinggi itu berbanding orang luar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari ini.
Calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor berkata, walaupun beliau akan menjadi wakil rakyat pembangkang, namun permasalahan utama pekebun dan orang asli boleh dibawa ke Parlimen.
“Sebagai anak tempatan, saya tahu masalah utama di sini, Insya-Allah tuhan akan bantu.
“Tapi pertamanya letakkan saya di Parlimen. Kalau isu berkaitan tanah itu terletak di bawah kuasa negeri dan ia perlu diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Pahang.
“Saya mempunyai keyakinan tinggi, di sini kampung saya, orang saya, keadaan sekeliling adalah kondusif, saya akan suarakan masalah rakyat Cameron Highlands sebab kita tahu kita pembangkang,” kata bekas pegawai polis itu ketika ditemui selepas menyantuni pengundi di Blue Valley dan Kg Raja, di sini, hari ini.
Ditanya tentang peluangnya untuk mempertahankan kemenangan BN di kerusi P078 itu, beliau berkata kegagalan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menjadi kelebihan kepadanya.
“Bagi saya kita pakai akal, adakah mereka tunaikan (janji PH) itu saja,” katanya.
Ramli turut memberi jaminan segala keluhan dan idea daripada masyarakat di Cameron Highlands tidak akan dipinggirkan malah beliau sedia membantu tanpa mengira fahaman politik.
“Apa saja pembangunan dan idea masyarakat Cameron Highlands kita akan bawa ke Parlimen,” katanya lagi. – MalaysiaGazette